Sayyeda-Syafiq pecah rekod kebangsaan dengan senjata pinjaman

Sayyeda-Syafiq pecah rekod kebangsaan dengan senjata pinjaman

Dalam aksi final itu, gandingan UPM mengumpul 488.6 mata untuk memadam rekod kebangsaan 488.1 mata yang sebelum ini dilakukan Haritz Hessly Hafiz-Gan Chen Jie daripada KPT-MASUM pada April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masalah senjata tidak menghalang gandingan Universiti Putra Malaysia (UPM), Sayyeda Khadeeja Anis Fadhil-Wan Muhammad Syafiq Wan Mustaza mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 10 meter (m) air pistol berpasukan campuran pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, semalam.

Lebih menarik, kedua-dua bekas penembak negara itu terpaksa berdepan pertukaran senjata sebelum turun ke aksi penentuan di Lapang Sasar Menembak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Syafiq mengakui pertukaran senjata buat kali ketiga bukan sesuatu yang mudah kerana setiap pistol mempunyai karakter berbeza, terutama membabitkan aspek picu dan kelajuan, namun pengalaman membantunya menyesuaikan diri dengan situasi berkenaan.

“Pertukaran senjata kali ketiga memang bukan perkara mudah kerana setiap pistol mempunyai karakter berbeza, terutama dari segi picu dan kelajuan, tetapi pengalaman sebelum ini sedikit sebanyak membantu saya.

“Walaupun terpaksa menggunakan senjata berbeza, kami cuba kekal tenang dan melakukan tembakan seperti biasa kerana matlamat utama adalah mendapatkan keputusan terbaik untuk UPM,” katanya.

Dalam aksi final itu, gandingan UPM mengumpul 488.6 mata untuk memadam rekod kebangsaan 488.1 mata yang sebelum ini dilakukan Haritz Hessly Hafiz-Gan Chen Jie daripada KPT-MASUM pada April lalu.

Sayyeda turut melalui situasi hampir sama apabila terpaksa menggunakan senjata baharu selepas senjatanya sendiri mengalami kerosakan, namun dia mempunyai sedikit kelebihan kerana sudah menggunakan pistol pinjaman berkenaan dalam aksi final acara lain sehari sebelumnya.

“Kemenangan hari ini memang sangat memuaskan kerana saya juga terpaksa menukar senjata selepas senjata saya rosak, tetapi kelebihannya saya sudah menggunakan senjata baharu itu dalam final acara lain semalam, jadi hari ini saya sudah mempunyai sedikit keselesaan untuk membuat tembakan.

“Kami cuba menembak seperti biasa, tetapi pasukan lain agak menurun prestasinya dan keadaan itu membuka ruang untuk kami membina jurang, selepas bermula di tempat ketiga sebelum perlahan-lahan naik sehingga akhirnya muncul juara,” katanya.

Kejayaan itu turut melengkapkan emas pertama Syafiq dalam acara campuran pada SUKIPT selepas sebelum ini meraih gangsa dalam acara air pistol berpasukan lelaki, manakala Sayyeda pula menambah kejayaan selepas mengutip dua perak dalam acara pistol angin individu wanita dan berpasukan wanita.

Kejayaan Sayyeda-Syafiq itu turut membantu UPM muncul juara keseluruhan acara menembak SUKIPT 2026 selepas membolot empat pingat emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×