Pengakap Malaysia benteng kesihatan mental belia

Pengakap Malaysia benteng kesihatan mental belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 ISU kesejahteraan diri dan kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia kini semakin mendapat perhatian masyarakat.

Dewasa ini, isu dan masalah berkaitan kesihatan mental seperti tekanan emosi, kebimbangan melampau, kemurungan serta tingkah laku berisiko dalam kalangan remaja dan belia semakin kerap menghiasi media sosial. 

Fenomena yang semakin membimbangkan ini menunjukkan kesejahteraan serta kesihatan mental bukan lagi isu individu semata-mata, sebaliknya merupakan cabaran sosial nasional yang memerlukan pendekatan pencegahan secara efektif dan menyeluruh. 

Dalam konteks ini, peranan Persekutuan Pengakap Malaysia sebagai gerakan pendidikan belia melalui pendekatan bukan formal sebenarnya menjadi antara benteng penting dalam membina daya tahan jasmani (fizikal), emosi, rohani dan intelek (mental) generasi muda.

 

MEMBINA DISIPLIN DAN ARAH HIDUP

Persetiaan pengakap yang sering dilafazkan iaitu “Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia yang saya dengan sedaya upaya saya akan taat kepada Tuhan, raja dan negara, menolong orang pada setiap masa dan menurut undang-undang pengakap”, merupakan akur janji yang menjadi peraturan asas untuk membina disiplin dan arah hidup.

Hal ini bukan sekadar lafaz simbolik tetapi merupakan komitmen nilai yang membentuk identiti diri belia. Apabila seorang ahli pengakap berjanji untuk taat kepada Tuhan, raja dan negara serta menolong orang pada setiap masa, mereka sebenarnya sedang membina makna kehidupan yang mampu membina jati diri dan arah hidup jelas dan bermatlamat.  

Belia yang mempunyai tujuan hidup jelas didapati lebih tahan menghadapi tekanan dan cabaran kehidupan dibandingkan dengan mereka yang kabur dan kurang yakin dalam menentukan matlamat hidup masing-masing.

 

10 UNDANG-UNDANG PENGAKAP

10 Undang-Undang Pengakap yang menjadi pegangan hidup ahli dan pemimpin pengakap ialah penerapan nilai-nilai moral iaitu dipercayai, taat dan  setia, berguna dan menolong, bersaudara, berbudi pekerti mulia, kasihkan binatang, menurut perintah, sabar dan tabah hati, berjimat cermat, suci pemikiran, perkataan dan perbuatan. 

Nilai-nilai ini berfungsi sebagai sistem kawalan dalaman yang membantu belia mengurus emosi dan perasaan diri. Mereka juga berupaya memilih atau membuat keputusan lebih rasional dalam pemikiran dan tindakan. 

Amalan mematuhi undang-undang ini dalam kehidupan seharian, secara tidak langsung dapat mengelakkan belia dari tingkah laku negatif dan berisiko.

Dalam perspektif kaunseling, pembinaan nilai moral yang konsisten merupakan faktor penting dalam pencegahan masalah kesihatan mental.

 

UNIFORM PENGAKAP : PEMBENTUKAN IDENTITI POSITIF

Pemakaian uniform pengakap bukan sekadar pakaian rasmi tetapi simbol identiti, rasa bangga dan kepunyaan kepada sebuah badan rasmi. Identiti positif yang dipersembahkan melalui uniform menghalang belia dari melakukan perkara tidak senonoh, gangguan disiplin ataupun melanggar undang-undang yang termaktub. Dengan beruniform penuh dan lengkap, hal ini membantu meningkatkan harga diri, keyakinan serta imej kendiri. 

Belia yang memiliki identiti sosial yang positif lebih berdaya tahan menghadapi tekanan  cabaran perkembangan diri.

 

SOKONGAN SOSIAL: JARINGAN PERSAUDARAAN DAN PELINDUNG DIRI

Antara kekuatan utama pergerakan pengakap ialah wujudnya amalan jaringan persaudaraan dan sokongan sosial yang mantap. Aktiviti secara berkumpulan, perkhemahan tahunan atau latihan kepimpinan yang sering dianjurkan mewujudkan rasa kebersamaan, saling mempercayai dan penerimaan sosial positif.

Kajian psikologi menunjukkan sokongan rakan sebaya, pemimpin mahupun ahli keluarga merupakan faktor pelindung utama terhadap kemurungan, kesunyian dan tekanan emosi dalam kalangan remaja dan belia.

 

ALAM SEMULA JADI: TERAPI KESIHATAN MENTAL

Aktiviti luar bilik darjah seperti menghadiri perkhemahan, eksplorasi hutan dan aktiviti kembara misalnya, memberi peluang luas kepada belia berinteraksi secara langsung dengan alam semula jadi yang terdapat di sekeliling kita.

Tidak dinafikan pengalaman berharga ini memberi kesan terapeutik kepada kesihatan mental dan fizikal. 

Pengakap bukan sahaja berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pelbagai spesies flora dan fauna bahkan dengan pelbagai jenis serangga dan unggas. Hal ini memberi impak kepada pengurangan tekanan, peningkatan fokus serta keseimbangan emosi.

Pendekatan ini selari dengan konsep terapi berasaskan alam semula jadi yang kini semakin diiktiraf dalam intervensi kesejahteraan dan kesihatan mental moden.

 

 

PENGAKAP SEBAGAI INTERVENSI PENCEGAHAN NASIONAL

Hakikatnya, gerakan Pengakap di Malaysia yang bernaung di bawah Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) telah lama membuktikan keberkesanannya dalam pembinaan sahsiah dan kesejahteraan belia. 

Melalui pendekatan pendidikan bukan formal, pembelajaran melalui pengalaman serta kepimpinan berasaskan nilai-nilai murni menjadikan pengakap sebagai platform pembangunan kesihatan mental secara semula jadi tanpa stigma.

Oleh itu, usaha memperkasakan Pengakap Malaysia bukan sekadar aktiviti kokurikulum di institusi pendidikan, tetapi merupakan pelaburan strategik negara dalam membina generasi insan belia yang sihat dan sejahtera mental, berdaya saing serta berintegriti. 

Kesihatan mental bukan hanya tanggungjawab pakar psikiatri, doktor perubatan, psikologis atau kaunselor semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama masyarakat madani. 

Dalam usaha membina masa hadapan negara yang lebih cemerlang dan gemilang, Pengakap Malaysia wajar dilihat sebagai antara benteng sosial paling ampuh dalam menjaga kesejahteraan mental belia negara. –UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad, ialah Kaunselor Berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia, Felo Majlis Profesor Negara dan kini Pengarah Akademi Pengakap Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN