LIVERPOOL: Liverpool dicadangkan supaya merehatkan Mohamed Salah menjelang pertembungan getir aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Paris, esok.
Segalanya bermula selepas kekalahan memalukan 0-4 kepada Manchester City dalam aksi suku akhir Piala FA, Sabtu lalu dan perlawanan itu juga merupakan penampilan pertama Salah selepas pengumumannya untuk meninggalkan kelab pada penghujung musim.
Walaupun pernah menjadi tonggak utama pasukan selama hampir sedekad, prestasi pemain berusia 33 tahun itu dalam perlawanan berkenaan dikritik hebat, terutama apabila dia gagal memanfaatkan peluang terbaik dan mensia-siakan sepakan penalti.
Sebelum ini, Salah menandatangani kontrak lanjutan dua tahun, namun keputusan untuk mengumumkan pemergiannya lebih awal dilihat memberi kesan terhadap fokus serta persembahannya di atas padang.
Legenda Manchester United, Roy Keane, turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi itu dengan menyifatkan masa pengumuman tersebut sebagai tidak sesuai, terutama ketika pasukan sedang bergelut menamatkan musim dengan cemerlang.
Kekalahan besar kepada City itu bukan sahaja menamatkan salah satu peluang kejuaraan, malah menjadi kekalahan terburuk Liverpool dalam saingan Piala FA sepanjang tempoh lapan dekad.
Lebih membimbangkan, Salah kini gagal menyempurnakan dua sepakan penalti berturut-turut termasuk dalam aksi UCL menentang Galatasaray, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keyakinannya ketika ini.
Dalam keadaan musim yang semakin menghampiri penghujung, UCL kini menjadi satu-satunya peluang realistik buat Liverpool untuk meraih trofi, menjadikan aksi menentang PSG sebagai perlawanan paling penting mereka setakat ini. – AGENSI/UTUSAN









