Ridhwan, Izzah taruhan pingat ACC

Ridhwan, Izzah taruhan pingat ACC

Mohammad Ridhwan Sahrom menjadi sandaran Malaysia pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 yang berlangsung di Tagaytay, Filipina dari 25 hingga 31 Mac ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pelumba berbasikal trek negara, Mohammad Ridhwan Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menjadi sandaran utama Malaysia pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 yang berlangsung di Tagaytay, Filipina dari 25 hingga 31 Mac ini.

Ridhwan dan Izzah diberi tanggungjawab itu selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak akan menyertai ACC, kelmarin.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri berkata, kedua-dua pelumba muda itu berada dalam keadaan terbaik walaupun menyedari mereka diberi tanggungjawab besar pada kejohanan tersebut.

“Sebenarnya, mereka sudah pun menjangkakan perkara ini sebab Datuk Azizulhasni sebelum ini ada memberitahu jika beliau beraksi cemerlang pada Piala Dunia beliau tidak akan sertai ACC.

“Ini kerana factor usia sebab beliau tidak boleh menyertai kejohanan secara berturut-turut,” katanya.

Terdahulu, Azizulhasni memenangi emas acara keirin dalam siri Piala Dunia Berbasikal Trek di Perth pada 7 Mac lalu sekali gus menewaskan pelumba No. 1 dunia, Matthew Richardson dari England.

Keesokkan harinya pula, Azizulhasni membawa pulang gangsa bagi acara pecut menewaskan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev.

Ditanya mengenai prospek pingat, Harnizam tidak menafikan peluang itu ada namun semuanya bergantung pada hari pertandingan.

“Peluang untuk dapatkan pingat itu ada. Macam acara keirin lelaki dan wanita, peluang sentiasa terbuka cuma bagi acara pecut agak susah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×