Beasley sah sertai Jepun, intai penutup karier di LA2028

Beasley sah sertai Jepun, intai penutup karier di LA2028

JOHN Beasley (kiri) berharap Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan sukan berbasikal trek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Era John Beasley bersama skuad berbasikal trek negara akhirnya bernoktah apabila jurulatih berpengalaman dari Australia itu mengesahkan bakal menyertai Jepun selepas lebih dua dekad mencurahkan khidmat kepada Malaysia.

Pengarah teknikal skuad berbasikal kebangsaan itu berkata, keputusan berkenaan bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil pertimbangan yang panjang sebelum memilih untuk memulakan cabaran baharu dalam karier kejurulatihannya.

Menurut Beasley, peluang untuk bekerjasama dengan Jepun hadir pada waktu yang tepat, terutama apabila beliau mengenali rapat individu yang kini mengetuai program berbasikal negara Matahari Terbit itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ya, saya sudah lama mempertimbangkan perkara ini. Ketua jurulatih dari Jepun itu ialah seorang atlet yang pernah saya latih dan dia pernah memenangi Kejohanan Dunia Remaja.

“Menuju ke LA (2028), ada banyak perkara istimewa di LA. Bapa saya sebahagian daripada pasukan Australia ketika negara itu memenangi pingat emas Olimpik mereka.

“Jadi, alangkah baiknya jika saya dapat… mungkin mengakhiri karier saya di temasya itu,” katanya dalam temubual bersama Astro Arena.

Kenyataan itu sekali gus mengesahkan spekulasi mengenai destinasi seterusnya Beasley selepas beliau mengumumkan pengunduran daripada program berbasikal trek negara.

Beasley mula menyertai Malaysia pada 2006 dan memainkan peranan besar dalam membentuk landskap baharu berbasikal trek negara sehingga muncul sebagai antara kuasa utama dunia.

Di bawah sentuhan beliau, Malaysia bukan sahaja mendominasi saingan Asia, malah berjaya menempatkan diri dalam kelompok elit dunia menerusi kejayaan konsisten di Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

Antara pencapaian paling bersejarah ialah kejayaan melahirkan jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, selain membawa pulang pelbagai gelaran di pentas antarabangsa.

Legasi yang ditinggalkan Beasley turut menyaksikan Malaysia berubah daripada pencabar serantau kepada pasukan yang disegani kuasa-kuasa besar berbasikal dunia.

Walaupun bakal membawa kepakarannya ke Jepun, sumbangan Beasley terhadap pembangunan berbasikal trek negara kekal terpahat sebagai antara era paling gemilang dalam sejarah sukan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN