PETALING JAYA: Atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji tekad mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada Kejohanan Piala Asia di New Delhi, India pada April biarpun berdepan jadual padat sepanjang musim ini.
Katanya, beliau mengakui terpaksa mengharungi jadual padat dengan beberapa kejohanan utama termasuk terbuka Australia pada Jun sebelum menghadapi Sukan Komanwel.
“Memang jadual padat sebab bukan sahaja kejohanan luar negara, tetapi dalam negara juga ada pertandingan yang perlu disertai untuk ranking.
“Tapi sebenarnya lagi banyak perlawanan lagi bagus untuk kita variasikan permainan. Cabarannya ialah perbezaan padang di Delhi, Malaysia dan Australia yang semuanya berbeza.
“Apa pun, adaptasi perlu cepat. Di mana-mana kita bermain, kita kena sesuaikan diri dengan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Juara dunia 2025 itu berkata, Malaysia muncul juara keseluruhan pada edisi terdahulu Piala Asia serta menegaskan status itu perlu dipertahankan.
“Kalau ikutkan rekod sebelum ini, Malaysia adalah juara keseluruhan. Jadi tahun ini kita kena pastikan gelaran itu kekal milik kita.
“Saya dan rakan sepasukan akan cuba memenangi seberapa banyak pingat emas yang dipertandingkan,” ujarnya.
Dalam edisi lalu di Filipina, Malaysia merupakan juara keseluruhan selepas membolot tujuh pingat emas, dua perak dan satu gangsa, sekali gus mempertahankan gelaran selaku kuasa besar dalam Kejuaraan Boling Padang Asia edisi ke-16. – UTUSAN










