PETALING JAYA: Meskipun terlepas peluang menghadiahkan pingat emas buat negara, pemain boling padang wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi tetap berpuas hati apabila berjaya membawa pulang pingat perak pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel 2026.
Aleena yang bergandingan bersama Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman mengakui tetap bersyukur dengan pencapaian itu meskipun tewas 0.5-1.5 kepada pasangan England, Amy Pharaoh-Sian Honnor pada aksi final acara berpasangan wanita di Scottish Event Campus (SEC), kelmarin.
Katanya, pencapaian tersebut cukup bermakna kerana berjaya menamatkan penampilan pertama di pentas Komanwel dengan sebutir pingat perak, sekali gus membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasangan terbaik dunia.
“Secara peribadi saya bersyukur. Walaupun kalah di final, sekurang-kurangnya penampilan pertama saya di Sukan Komanwel berakhir dengan pingat perak. Alhamdulillah.
“Saya rasa kekurangan sedikit datang daripada posisi lead yang saya mainkan, namun saya akui pasangan England memang bermain dengan sangat baik dan layak muncul juara,” katanya.
Dalam masa sama, Aleena turut melihat prestasinya semakin meningkat berbanding kejohanan-kejohanan terdahulu hasil keserasian yang semakin utuh bersama Syafiqa.
Katanya, pengalaman luas dimiliki Syafiqa banyak membantu meningkatkan keyakinan serta persembahannya sepanjang kejohanan sehingga mereka berjaya melangkah ke pentas final.
“Saya rasa prestasi saya semakin baik berbanding sebelum ini. Syafiqa banyak membantu saya untuk terus meningkat dan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
“Saya bersyukur dapat bergandingan dengannya kerana dia seorang yang sangat tenang. Ketenangan itu banyak membantu kami sehingga berjaya mara ke final,” katanya.
Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Izzat Shameer Dzulkeple juga mencipta sejarah apabila menjadi atlet Malaysia pertama memenangi pingat acara perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel selepas meraih perak di Glasgow 2026 hari ini.
Pada aksi penentuan pingat emas di Scottish Event Campus di sini, Izzat tewas 2-0 kepada jaguh England, Sam Tolchard tetapi kejayaan mara ke final sudah cukup untuk mencatat sejarah baharu buat negara. – UTUSAN










