Cukuplah badi England 'bersarang' 23 tahun

Cukuplah badi England ‘bersarang’ 23 tahun

SKUAD Speedy Tigers layak ke Piala Dunia 2026. - FB KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekuatan mental dan disiplin yang tinggi mampu menjadi azimat buat skuad hoki negara untuk menundukkan England dalam misi penting mara ke final kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir.

Berdasarkan 16 rekod pertemuan, nyata ia tidak memihak kepada Speedy Tigers apabila mereka sering menjadi mangsa belasahan dalam enam perlawanan terakhir dan Malaysia hanya pernah menewaskan England tiga kali iaitu pada 1973, 2002 dan 2003.

England turun selaku pilihan utama kejohanan dijadual bertemu Malaysia di Stadium Suez Canal Authority, hari ini dalam aksi separuh akhir memiliki pengalaman luas dengan 14 penampilan berturut-turut di pentas Piala Dunia sejak 1973.

Melihat kepada profil lawan, England bukanlah lawan yang mudah untuk diatasi namun ketua jurulatih skuad negara, Sarjit Singh tetap berazam mahu memimpin Speedy Tigers layak ke pusingan akhir Piala Dunia pada Ogos ini.

“England bukan lawan yang mudah dan pastinya perlawanan menentang mereka sukar tetapi kami cuba berikan yang terbaik. Diharapkan kami dapat lakukan sesuatu.

“Matlamat kami mahu ke Piala Dunia. Kami mahu jadi juara kumpulan tapi kami tewas 5-3 kepada Pakistan namun harapan kami ke Piala Dunia masih ada. Kami berterima kasih kepada penyokong yang memberi sokongan kepada kami,” katanya.

Terdahulu, Malaysia mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas menewaskan China 5-4 dalam aksi terakhir kumpulan, kelmarin sekali gus muncul naib juara Kumpulan B di belakang Pakistan.

Mengulas lanjut, Sarjit berpuas hati dengan persembahan pemainnya walaupun terpaksa berdepan detik cemas apabila ketinggalan 2-1 malah lawan menjaringkan dua gol pada lewat permainan.

“Kami ketinggalan 1-2 dan kami bangkit menjadikan kedudukan 4-2, bagus untuk pasukan. Saya fikir pemain hanya mahukan kemenangan.

“Kami tahu kemenangan ini amat penting untuk pasukan, kami mahu berada mara ke separuh akhir dan kami telah pun layak, kami mahu beraksi di Piala Dunia,” katanya.

Tiga pasukan terbaik keseluruhan daripada kempen kelayakan kali ini akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN