PETALING JAYA: Penyerang hoki kebangsaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook enggan meletakkan sasaran peribadi menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir pada 1 hingga 8 Mac ini.
Akhimullah yang berasal dari Kemaman berkata, fokus utamanya ketika ini adalah untuk mengekalkan persembahan terbaik bagi merealisasikan impian Speedy Tigers layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Belanda dan Belgium, Ogos ini.
“Saya punya sasaran adalah kekalkan persembahan dan berikan yang terbaik. Tidak meletakkan sasaran (untuk muncul penjaring terbanyak).
“Saya lebih memikirkan pasukan sebab kalau kita laksanakan tugas dengan baik, pasukan juga bermain dengan baik. Sasaran peribadi bukan keutamaan tetapi sasaran pasukan,” katanya.
Terdahulu, Akhimullah membantu pasukan kebangsaan meraih tempat ketiga dalam Piala Asia 2025 malah dia turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan 12 jaringan.
Pemain berusia 26 tahun itu turut dinobatkan penjaring gol terbanyak dengan sembilan jaringan ketika membantu skuad hoki lima sebelah negara memenangi pingat emas dalam Sukan SEA 2025.
Akhimullah mula beraksi bersama skuad kebangsaan sejak April 2019 telah membuat 52 penampilan antara pemain harapan ketua jurulatih, Sarjit Singh.
Pada aksi kelayakan tersebut, Malaysia berada dalam Kumpulan B akan memulakan saingan menentang Austria pada 1 Mac ini sebelum bertemu Pakistan keesokan harinya dan China (4 Mac). – UTUSAN










