KOTA BHARU: Pas sedia menggunakan lambang bulan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) berdepan halangan undang-undang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat usaha untuk memfailkan semakan dan rayuan di mahkamah terhadap keputusan berkenaan.
“Daripada segi undang-undang, apabila sesuatu logo telah diserahkan, diterima dan disahkan (endorse) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pembubaran (Dewan Undangan Negeri), ia tidak boleh dibatalkan di tengah jalan.
“Hal ini kerana kuasa penuh terletak di bawah SPR. Bagaimanapun, jika ia berlaku sebelum proses penamaan calon, kita menyatakan kesediaan untuk menggunakan logo Pas sekiranya diarahkan berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Kuliah Perdana Sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (BMI) di Dataran Warisan Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, RoS telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang membolehkan PRN bertanding pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung November ini atas logo perikatan itu.
Sementara itu, PN mengintai peluang menambah satu atau dua lagi kerusi untuk ditandingi pada PRN Melaka.
Tuan Ibrahim berkata, rundingan bagi mendapatkan tambahan kerusi itu masih boleh dilakukan dan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam tempoh sehari dua ini.
Katanya, perkara itu akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti menerusi Jawatankuasa Perundingan Kerusi, manakala PN akan menggunakan logo gabungan berkenaan pada PRN Melaka nanti.
“Mungkin keputusan itu pada hari ini atau esok oleh pimpinan tertinggi parti, Jawatankuasa Perundingan Kerusi. Kita juga akan menggunakan logo PN bagi PRN nanti.
“Di Melaka ini, kita baru di peringkat Jawatankuasa Induk dan akan memuktamadkannya dalam masa sehari dua ini, walaupun tujuh kerusi sudah disebut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.-UTUSAN











