ISTANBUL: Kekurangan seorang pemain menjadi punca Juventus terpaksa menelan pahit tewas 2-5 kepada Galatasaray dalam aksi playoff pertama Liga Juara-Juara UEFA, semalam.
Jurulatihnya, Luciano Spalletti menyifatkan layangan kad merah ke atas Juan Cabal sebagai titik perubahan yang meranapkan rentak pasukannya.
“Kad merah jelas memberi impak, tetapi kami juga bersalah. Kami kurang personaliti dan karakter untuk mengawal situasi.Kami tidak membaca bahaya daripada apa yang kami lakukan sendiri.
“Kami sebenarnya mengundur beberapa langkah ke belakang. Babak pertama pun kami sudah akhiri dengan cara yang tidak baik,” katanya dalam nada kecewa.
Juventus yang sempat mendahului 2-1 menerusi dua jaringan Teun Koopmeiners selepas gol awal Gabriel Sara, dilihat berada di landasan tepat untuk membawa bekalan selesa ke Turin.
Namun, segala perancangan berubah sekelip mata apabila Cabal diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada awal babak kedua.
Situasi itu membuka ruang buat tuan rumah apabila Noa Lang meledak dua gol, manakala Davinson Sanchez dan Sacha Boey turut mencatat nama sebagai penjaring untuk memastikan wakil Turkiye itu membawa bekalan besar dalam aksi timbal balik.
Kekalahan tersebut menjadi antara yang terburuk buat Juventus di pentas Eropah, sekali gus meletakkan tekanan hebat menjelang perlawanan kedua di laman sendiri.
Bagi Spalletti, tugas paling mendesak kini adalah memulihkan keyakinan dan memastikan anak buahnya bangkit dengan reaksi yang lebih matang jika mahu terus bernyawa dalam saingan elit Eropah. – AGENSI/UTUSAN










