LONDON: Legenda Arsenal, Sol Campbell percaya The Gunners memiliki peluang terbaik untuk menamatkan kemarau trofi Eropah meskipun mengakui Paris Saint-Germain (PSG) tampil sebagai pasukan pilihan pada final Liga Juara-Juara Eropah di Budapest, esok .
Bekas tonggak pertahanan skuad ‘invincibles’ itu berkata, kejayaan Arsenal menamatkan penantian panjang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini memberi suntikan moral besar kepada skuad kendalian Mikel Arteta.
Menurutnya, tekanan memburu gelaran liga selama lebih dua dekad sebelum ini sering menjadi beban utama buat kelab London itu.
“Beban itu sudah terlerai. Selama ini Arsenal sentiasa hampir, tetapi gagal melengkapkannya. Kini mereka lebih bebas dan yakin,” katanya.
Campbell mengingatkan Arsenal supaya tidak terlalu defensif ketika berdepan jentera serangan PSG kerana pendekatan terlalu berhati-hati hanya akan membuka lebih banyak ruang kepada lawan.
“Dalam perlawanan besar seperti ini, ada masa anda perlu menang situasi satu lawan satu. Jika terlalu ramai turun membantu pertahanan, PSG akan gunakan ruang yang ditinggalkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan peluang beraksi di pentas final Liga Juara-Juara bukan sesuatu yang datang setiap musim dan Arsenal perlu memanfaatkannya sepenuhnya.
“Kita tidak tahu bila peluang seperti ini akan datang semula. Arsenal ada pertahanan yang mantap, PSG pula memiliki serangan luar biasa. Bezanya mungkin hanya pada keyakinan dan sedikit tuah.”
Campbell menjangkakan aksi terbuka dengan kemungkinan jaringan tinggi, namun tetap meletakkan PSG selaku pilihan untuk menjulang trofi.
“Saya rasa ia boleh jadi perlawanan 3-2. PSG masih pilihan, tetapi dalam final apa sahaja boleh berlaku jika nasib memihak kepada anda,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










