PSG buru status legenda Eropah

PSG buru status legenda Eropah

Tonggak tengah Paris Saint-Germain (PSG), Fabian Ruiz berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Arsenal di Puskas Arena, Budapest, Hungary pada Ahad ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) kini selangkah untuk mengukuhkan status sebagai kuasa baharu bola sepak Eropah apabila memburu gelaran kedua berturut-turut Liga Juara-Juara 2026 menentang Arsenal di Budapest hujung minggu ini.

Selepas menamatkan penantian panjang dengan membelasah Inter Milan 5-0 pada final musim lalu, skuad kendalian Luis Enrique kini semakin hampir memasuki kelompok pasukan elit sepanjang zaman Eropah.

Lebih menggerunkan, PSG musim ini tampil sebagai pasukan paling konsisten di Eropah apabila berjaya menyingkirkan pencabar besar termasuk Manchester City dan Bayern Munich sepanjang kempen mereka.

Kejayaan luar biasa itu hadir hanya beberapa tahun selepas PSG meninggalkan projek ‘galactico’ yang sebelum ini dibina berasaskan nama besar seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe.

Sebaliknya, Enrique berjaya membentuk skuad lebih muda, agresif dan bertenaga sehingga mengubah sepenuhnya imej PSG yang suatu ketika dahulu sering menjadi bahan ejekan di pentas Eropah.

“Apabila saya datang ke kelab ini, objektif saya adalah untuk mencipta sejarah dan kami rasa masih banyak perkara yang boleh dicapai.

“Kami mahu terus menulis sejarah kerana pasukan ini masih belum sampai ke had sebenar mereka,” kata Enrique.

Bintang Georgia, Khvicha Kvaratskhelia pula percaya PSG kini memiliki mentaliti juara sebenar selepas berjaya membuktikan mereka mampu menewaskan mana-mana pasukan di Eropah.

“Sudah tentu sukar untuk mempertahankan kejuaraan tetapi kami tahu kami boleh menang sekali lagi jika bermain dengan cara kami sendiri dan memberikan segala-galanya di atas padang,” katanya.

PSG kini memburu pencapaian yang sangat jarang berlaku dalam era moden Liga Juara-Juara apabila hanya Real Madrid kendalian Zinedine Zidane pernah mempertahankan gelaran secara berturut-turut sejak format moden diperkenalkan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN