Magis Enrique senjata PSG pertahan kejuaraan Eropah

Magis Enrique senjata PSG pertahan kejuaraan Eropah

Pemain-pemain Paris Saint-Germain menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas menewaskan Arsenal 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final di Puskas Arena, Budapest, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAPEST: Kejayaan Paris Saint-Germain (PSG) mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah bukan sekadar membuktikan dominasi kelab gergasi Perancis itu, malah mengukuhkan reputasi Luis Enrique sebagai arkitek utama kebangkitan pasukan berkenaan di pentas Eropah.

PSG mengekalkan mahkota Eropah selepas menundukkan Arsenal 4-3 menerusi penentuan penalti dalam aksi final mendebarkan di Budapest, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Kejayaan itu menyaksikan PSG muncul juara buat kali kedua berturut-turut dan kini mengintai peluang mencipta sejarah baharu dengan memburu kejuaraan ketiga musim depan.

Pertahanan kanan, Achraf Hakimi menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kepercayaan penuh pemain terhadap falsafah yang diterapkan Enrique sejak mengambil alih pasukan pada 2023.

“Jurulatih sentiasa menegaskan bahawa pasukan lebih besar daripada mana-mana individu. Kami percaya sepenuhnya kepada apa yang dibawanya.

“Dahulu PSG terkenal dengan bintang, tetapi sekarang kami bermain sebagai sebuah keluarga. Itulah kekuatan sebenar kami,” katanya.

Sejak ketibaan Enrique, PSG mengalami perubahan ketara apabila pendekatan berasaskan disiplin taktikal, intensiti tinggi dan semangat kolektif menggantikan budaya kebergantungan kepada pemain berprofil tinggi.

Namun, pengendali dari Sepanyol itu enggan terlalu memikirkan soal legasi peribadi meskipun namanya kini semakin kukuh dalam kelompok jurulatih elit dunia.

“Saya tidak memikirkan soal menjadi legenda. Apa yang penting adalah terus membantu pasukan berkembang,” katanya.

Sementara itu, kapten PSG, Marquinhos percaya kejayaan mempertahankan trofi tidak akan membuatkan pasukan cepat berpuas hati.

“Kami mempunyai jurulatih yang sentiasa mahukan lebih banyak kejayaan. Saya percaya beliau akan terus menolak kami untuk memburu kejuaraan ketiga berturut-turut,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN