FRANCIS Fukuyama, sarjana politik Amerika Syarikat (AS) dalam bukunya, The End of History and The Last Man (1992) menyatakan dunia pada abad ke-21 diwarnai neo-liberalisme.
Neo-liberalisme digambarkan sebagai kehidupan masyarakat dunia yang bercirikan kehidupan kosmopolitan, kebebasan individu, politik demokrasi-liberal dan perdagangan bebas.
Fukuyama menyatakan demokrasi-liberal dan teknologi moden yang dipacu oleh kapitalisme mencapai puncak dalam sejarah kehidupan manusia.
Hal sama di sebut pa yang disebut filsuf Jerman, G.W.F Hegel, ‘akhir sejarah’ ialah pemerintahan liberal (Filsafat Sejarah, Pustaka Pelajar, Yogyakarta,2002).
Fukuyama begitu mengagumi demokrasi-liberal sehingga mendakwa dunia menjadi aman dengannya. Beliau percaya cara ini memenuhi dan meletakkan semua manusia sama taraf tanpa kehidupan berkelas.
Menurutnya, demokrasi-liberal menjadi aspirasi politik yang koheren di seluruh dunia. Ia menjadi ideologi hegemoni abad ke-21 bukan sahaja dalam bidang politik tetapi juga dalam ekonomi dengan ciri utamanya pasaran bebas serta keupayaan mengeluarkan keperluan kebendaan (barangan) dalam jumlah cukup besar.
Persoalnnya, benarkah apa yang didakwa Fukuyama itu? Benarkah dunia hari ini menjadi lebih aman dan sejahtera? Yang nyata, beberapa senario dunia tidak menggambarkan sedemikian. Bukankah kemunculan awal abad ke-21 dimulai dengan tragedi hitam 11 September 2001, iaitu serangan pengganas yang meranapkan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Manhattan, iaitu mercu tanda kapitalisme kebangaan Amerika Syarikat (AS).
Peristiwa itu yang menurut sesetengan pengakaji merupakan konspirasi Zionis mendorong Presiden AS ketika itu, George W. Bush mengisytiharkan perang melawan terorisme yang menjadikan Iraq sebagai mangsa sasarannya, sedangkan itu ialah perang yang penuh muslihat yang memaparkan wajah sebenar AS, Israel dan sekutunya menyerang dunia Islam.
Pencerobohan yang dilakukan itu dijustifikasikan sebagai misi untuk menghapuskan kejahatan dan menegakkan demokrasi-liberal di negara yang dicerobohi itu.
Di Iraq alasan yang digunakan AS kononnya Sadam Hussein sangat bahaya kerana membangunkan senjata pemusnah besar-besaran. Sebenarnya tuduhan itu hanyalah pembohongan besar AS untuk menghancurkan Iraq yang dianggap ancaman kepada ’anak emasnya’, iaitu Israel. AS juga campur tangan di beberapa negara umat Islam yang dianggapnya tidak demokratik dan menindas.
AS cuba mempromosi demokrasi melalui pilihan raya yang kononnya adil dan bebas di negara seperti Algeria, Turkiye, Palestin dan Mesir.
Namun, apabila parti bernafaskan Islam diterima majoriti rakyat, maka White House mencari jalan mengulingkan pemimpin dan parti Islam yang berjaya dan menghuru-harakan negara terbabit.
Amalan dan polisi luar AS yang pro-Israel membuktikan tidak pernah bersifat demokratik terhadap negara di rantau itu.
Selain itu, krisis politik berhubung isu senjata nuklear antara Korea Utara dan Korea Selatan, India dan Pakistan serta Iran dan AS yang tidak berkesudahan hingga kini juga menyanggah kenyataan Fukuyama bahawa dunia pada abad ini akan lebih aman di bawah politik demokrasi-liberal.
Konflik itu boleh mencetuskan peperangan di antara negara-negara terbabit. Malah ada penganalisis yang meramalkan abad ke-21 akan menyaksikan berlakunya Perang Dunia Ketiga.
Hari ini kita lihat pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dalam melaksanakan polisi luar begitu agresif mencampuri urusan negara lain dan menjadikan banyak negara sebagai sasaran kerakusan politik luarnya.
Kebanyakan negara Asia Barat hampir berada di bawah telunjuknya dan mana-mana negara yang dianggap degil seperti Syria pun berjaya dilemahkan melalui tekanan politik, ekonomi dan serangan tentera.
As menjadikan kebanyakan negara di rantau tersebut sebagai pengkalan tenteranya untuk berdepan Iran yang mahu dihancurkan dan mempromosi politik demokrasi-liberal dengan menggulingkan pemerintahan teokrasi ulama Syiah.
Buat masa ini, hubungan AS-Iran begitu tegang. Ia boleh mencetuskan perang besar melibatkan banyak negara.
Di Amerika Latin seperti Venezuela dan Brazil, AS sentiasa berkonflik dengan negara-negara terbabit. Pada awal Januari lalu, AS melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menahan Presidennya, Nicolas Maduro bersama isterinya. Nicolas dituduh mengendalikan ‘narco-state’ dan memanipulasi pilihan raya.
Tindakan Trump merupakan campur tangan langsung ke atas negara Amerika Latin itu yang boleh mencetuskan ketegangan geopolitik di rantau tersebut. AS mempunyai maksud lain di sebalik tindakannya, iaitu untuk menguasai simpanan minyak yang besar milik Venezuela.
AS juga bermusuhan dengan China bukan sahaja dari segi perdagangan tetapi juga dalam strategi geopolitik yang boleh mengheret ke kancah peperangan.
Mereka sentiasa mencari jalan mencipta krisis dan perang antara negara tertentu yang menjadi sasaran untuk tujuan memasarkan persenjataan, selain menguji kekuatan dan kehebatan senjata yang mereka cipta.
Dalam konteks ekonomi, kapitalisme menjadi penyebab berlakunya kerosakan ekonomi dunia. Ini terbukti apabila dunia beberapa kali menyaksikan krisis kewangan dan ekonomi global. Ia adalah kerakusan dari kaum kapitalisme yang dibelakangnya didokong oleh tokoh-tokoh politik neo-liberalisme yang berpusat di AS dan beberapa negara Eropah lain.
Justeru, tidak hairanlah ada pemikir dan pakar ekonomi mula menilai dan mencari jalan keluar dari kongkongan sistem kapitalisme, namun hal itu tidak begitu mudah.
Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, dalam simposium New World, New Capitalism pada 2009 menyatakan dunia perlu mencari pemikiran, pendekatan serta nilai-nilai moral baharu dalam mengatasi permasalahan ekonomi dan konflik politik dunia. Ini bermakna politik demokrasi-liberal Barat itu tidaklah seindah yang digambarkan oleh Fukuyama.
Di satu sudut lain, pejuang hak kebebasan semakin keliru erti kebebasan yang diperjuangkan. Mereka tersilau dan taasub dengan ideologi demokrasi-liberal, kononnya memberi kebebasan lebih meluas kepada rakyat termasuk hak-hak kebebasan individu seperti bersuara, berhimpun hinggalah mengamalkan seks sejenis.
Golongan yang taasub dengan politik demokratik- liberal Barat pula melampaui asas-asas politik dan kenegaraan yang selama ini sudah menjadi asas dan sendi-sendi kukuh yang mengharmonikan masyarakat.
AMBIL YANG BAIK
Kita tidak menolak secara mutlak ideologi liberal yang memiliki kekuatan tertentu dalam membangun kehidupan. Kita perlu mengambil yang baik selain tetap mempertahankan kepentingan nasional serta mempertahankan warisan sosiobudaya dan jati diri.
Dalam masa sama, ajaran Islam harus dijadikan benteng dan pendoman kehidupan. Aspek akal budi, kesopanan dan ketatasusilaan kehidupan perlu dipelihara supaya kehidupan ini mempunyai kemuliaan dan keindahannya yang tersendiri.-UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










