RPTM: Kemanusiaan tidak boleh sekadar retorik

RPTM: Kemanusiaan tidak boleh sekadar retorik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANCANGAN Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 meletakkan penegasan tepat bahawa pendidikan tinggi tidak boleh lagi dipandu semata-mata oleh logik indikator teknikal dan persaingan yang bersifat kosmetik.

RPTM mengangkat kemanusiaan dan kelestarian sebagai teras lonjakan dengan disokong empat nilai sekali gus berupaya mengembalikan tujuan asal universiti iaitu membina insan, memimpin masyarakat dan memikul amanah masa hadapan, bukan sekadar menjadi pemacu ekonomi.

Namun, cabaran sebenarnya bukan pada teks pelan tetapi pada mekanisme dan ekosistem pengukukurannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sepanjang dua dekad lalu, bahasa ‘kemanusiaan’ memang sentiasa hadir dalam pelan, ucapan dan deklarasi tetapi malangnya tenggelam apabila berdepan sistem pengukuran dan budaya ranking.

Selagi kemanusiaan tidak diukur, ia kekal sebagai ‘senarai impian’ yang hanya indah pada dokumen tetapi lemah pada pelaksanaan.

Lebih paradoks, universiti sering menegaskan ranking bukan matlamat, namun realitinya indikator ranking tetap sahaja menjadi mekanisme ukuran prestasi dan proses membuat keputusan, mempengaruhi peruntukan, menentukan insentif dan menggerakkan budaya kerja.

Justeru, jika mahu RPTM benar-benar terlaksana, satu perkara mesti diselesaikan dengan segera iaitu universiti di Malaysia memerlukan pengukuran atau ranking baharu yang sepadan dengan aspirasi RPTM.

Kita tidak boleh mengharapkan ranking luar menilai hasrat RPTM. Kebanyakan ranking global dibina atas ekosistem, ideologi dan keutamaan negara lain. Lazimnya menekankan reputasi, output penyelidikan, sitasi, mobiliti antarabangsa dan metrik yang mudah ditandak. Itu bukan salah mereka.

Masalahnya muncul apabila universiti menjadikan ukuran luar sebagai kompas tunggal, sedangkan RPTM menuntut universiti memimpin pembinaan manusia dan kelestarian alam.

Kesan paling nyata ialah apabila universiti kelihatan maju atas kertas tetapi masyarakat masih merasakan jurang adab, integriti, keadilan, empati dan kepekaan sosial.

Selagi kemanusiaan tidak masuk dalam petunjuk prestasi utama (KPI) yang mengikat, maka akan kekal sebagai retorik lalu mudah ditolak ke tepi atas alasan ‘tidak menaikkan skor’ atau ‘tidak memberi pulangan cepat’. Di sinilah akar masalahnya yang mana mudah dikira akan sentiasa menang dan penting tetapi sukar diukur kalah.

Sebab itulah RPTM memerlukan sistem pengukuran yang menilai universiti sebagai institusi pembinaan peradaban, bukan sekadar kilang output. Ukuran baharu mesti memaksa universiti bertanya soalan “Apakah impak kemanusiaan yang benar-benar berlaku dalam kampus dan komuniti?”, bukan sekadar “berapa banyak kita menerbitkan dan menaikkan reputasi?”.

Jika tidak, universiti akan hanyut semula kepada rutin yang paling mudah dilaporkan, bukan yang paling bermakna untuk negara.

 

 

RANCANGAN Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) dibina sebagai ‘dokumen hidup’ dengan 10 lonjakan strategik, lengkap dengan justifikasi, sasaran dan laluan pelaksanaan.

PELUANG STRATEGIK MALAYSIA

Tempoh 2026–2035 ialah dekad kritikal. Dunia menghampiri penghujung kitaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan sedang mencari kerangka baharu serta model pembangunan pasca-2030.

Dalam peralihan ini, Malaysia mempunyai peluang keemasan untuk menawarkan RPTM sebagai model yang mengikat kelestarian dengan kemanusiaan.

Bagi tujuan ini, agenda kelestarian sudah pun melalui ‘prosesnya’ di banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui kampus hijau, laporan SDG, penyelidikan iklim, inisiatif operasi dan pelbagai pencirian kelestarian.

Yang masih lemah dan tidak seragam ialah ukuran kemanusiaan terutamanya aspek sejauh mana universiti membina karakter, adab, empati, ketahanan emosi, integriti, amanah, tanggungjawab sosial serta keadilan dalam keputusan dan tindakan.

Jika Malaysia berjaya membina pengukuran kemanusiaan yang sah, boleh diaudit dan diterima ekosistem, maka kita boleh memimpin naratif pasca 2030 membuktikan kelestarian tanpa kemanusiaan cenderung menjadi teknokratik dan kemanusiaan tanpa kelestarian pula mudah menjadi sentimental.

RPTM mampu menawarkan kombinasi yang tepat tetapi mesti diterjemahkan kepada ukuran, sasaran dan insentif yang nyata, supaya tidak berhenti sebagai ‘semangat’ yang kuat pada awal, lalu pudar apabila berdepan realiti KPI.

Dalam konteks Malaysia, kita sudah ada ekosistem penilaian seperti Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara), Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) dan pelbagai KPI institusi.

Ketika ini pun MyRA sedang disemak semula. Maka inilah masa paling strategik untuk memastikan semakan itu benar-benar selari dengan RPTM.

Prinsipnya mudah iaitu apa yang kita ukur, itulah yang kita laksana dan bina. Jika ukuran masih berat pada output tradisional, universiti akan kembali ke kelaziman lama hanya mengejar angka, menambah program kosmetik, mengindahkan laporan dan akhirnya ‘keseronokan lonjakan’ RPTM menjadi keseronokan sementara. Maka dua tindakan perlu diputuskan dengan berani:

– Reformasi besar Setara/MyRA supaya memasukkan kemanusiaan dan kelestarian sebagai paksi penilaian bukan lampiran dan dengan indikator yang berasaskan bukti dan boleh diaudit.

– Membangunkan kerangka ukuran baharu yang khusus untuk menilai keberhasilan RPTM merentas universiti awam, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), politeknik dan kolej komuniti.

Antara indikator yang boleh dibangunkan secara telus ialah kualiti pedagogi berasaskan nilai dan tindakan, rekod integriti akademik serta tadbir urus, kesejahteraan pelajar dan keselamatan psikososial, keberkesanan pembelajaran berasaskan komuniti dengan impak sosial yang boleh dijejak, keadilan akses dan mobiliti sosial, budaya adab serta profesionalisme kampus selain nilai awam yang dihasilkan universiti untuk komuniti setempat. Pendekatan ini bukan menolak penyelidikan dan inovasi, sebaliknya meletakkannya dalam kompas yang lebih seimbang dan tepat.

Namun, sebaik mana pun sistem ukuran dirangka, ia akan gagal jika pembaharuan tidak menyentuh jantung universiti, iaitu bilik kuliah dan budaya pengajaran. Perubahan paling kritikal terletak pada reformasi pedagogi. Di sinilah kualiti pelajar dibentuk melalui cara ilmu dibina, nilai dihidupkan, pemikiran diasah dan tanggungjawab sosial dipupuk. Tanpa perubahan pedagogi yang sebenar, pembaharuan lain berisiko menjadi kosmetik semata-mata dan RPTM pula mudah terperangkap sebagai retorik.

Selain itu, kefahaman tentang makna ilmu juga perlu dipulihkan. Ilmu yang benar tidak boleh terpisah daripada amal dan tindakan. Jika universiti sekadar gah dalam wacana dan seminar tetapi lemah dari segi pelaksanaan, maka disiplin dan tanggungjawab bukan lonjakan baharu, sebaliknya pengulangan kegagalan lama. Kemanusiaan tidak boleh kekal sebagai bahasa indah di pentas tetapi rapuh pada adab, keputusan dan amalan di lapangan.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (PenDaPaT).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini