RABAT: Maghribi akan menentang Senegal di bawah pimpinan Sadio Mane dalam final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) hujung minggu ini selepas kedua-duanya mencatat kemenangan dalam separuh akhir, semalam.
Kemenangan Senegal itu juga memusnahkan impian bintang Liverpool, Mohamed Salah untuk menjulang gelaran kali ini.
Maghribi menewaskan Nigeria 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan separuh akhir berakhir 0-0 selepas masa tambahan, dengan penjaga gol Yassine Bounou mempamerkan aksi cemerlang apabila menyelamatkan dua sepakan dalam penentuan itu.
Bounou, yang beraksi bersama kelab Arab Saudi Al-Hilal, menyelamatkan sepakan Samuel Chukwueze dan Bruno Onyemaechi, sekali gus membolehkan Youssef En-Nesyri menyempurnakan sepakan kemenangan sehingga mencetuskan sambutan liar dalam kalangan lebih 65,000 penyokong di Stadium Prince Moulay Abdellah.
“Ia adalah salah satu perlawanan paling sukar yang pernah kami hadapi menentang pasukan yang sangat kukuh dan berbakat,” kata jurulatih Maghribi, Walid Regragui yang pernah beraksi dalam pasukan terakhir Atlas Lions mara ke final AFCON ketika tewas kepada Tunisia pada 2004.
“Ia adalah hadiah yang besar buat mereka untuk berada di final, tetapi kami perlu pulih dengan cepat kerana kami telah mengerah banyak tenaga dalam perlawanan ini,” katanya.
Terdahulu, Mane yang mengakui kejohanan tersebut merupakan yang terakhir buatnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-78 untuk memberikan Senegal kemenangan 1-0 ke atas Mesir di Tangiers.
“Saya sangat gembira dapat bermain dalam AFCON terakhir saya. Saya berharap dapat memenanginya (final) dan membawa (trofi) pulang ke Dakar,” kata pemain berusia 33 tahun itu.
Senegal, juara 2022, menguasai penguasaan bola menentang Mesir yang berhati-hati ketika gelaran Piala Negara-Negara terus terlepas daripada bintang Liverpool, Salah.
Ini merupakan AFCON kelima buat Salah dan pencapaian terdekatnya kepada pingat juara adalah muncul naib juara sebanyak dua kali. – AFP/UTUSAN










