NEW YORK: Senegal berdepan tugas sukar untuk menyekat ketajaman penyerang Norway, Erling Haaland apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia di Stadium New York, esok.
Jurulatih Senegal, Pape Bouna Thiaw kini berdepan dilema besar dalam menentukan benteng pertahanannya selepas kapten, Kalidou Koulibaly gagal mempamerkan aksi meyakinkan ketika tewas 1-3 kepada Perancis pada aksi pembukaan.
Koulibaly yang baru pulih daripada kecederaan bergelut mengekang kelincahan Kylian Mbappe sehingga membuka ruang kepada bintang Perancis itu meledak dua gol, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pemain berusia 35 tahun itu akan terus diberi kepercayaan.
Sebagai alternatif, Thiaw boleh mempertaruhkan pertahanan muda berusia 20 tahun, Mamadou Sarr yang pernah mencuri perhatian ketika mengisi kekosongan Koulibaly pada saingan Piala Negara-Negara Afrika di Maghribi.
Namun, pemain Chelsea itu dilihat kurang cergas susulan kekurangan minit permainan bersama kelabnya sejak beberapa bulan lalu.
Senegal yang sebelum ini dianggap antara wakil Afrika paling berpotensi di Piala Dunia menerima tamparan awal selepas kekalahan kepada Perancis, sekali gus menjadikan pertemuan dengan Norway sebagai aksi wajib menang.
Sebaliknya, Norway tampil dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Iraq 4-1 dalam aksi pertama mereka, dengan Haaland mencuri tumpuan apabila meledak dua gol.
Kemenangan ke atas Senegal bakal mengesahkan slot Norway ke pusingan 32 terbaik.
Bagaimanapun, jurulatih Norway, Stale Solbakken mengakui pasukannya masih mempunyai beberapa kelemahan, terutama di bahagian pertahanan.
“Kita masih ada beberapa kelemahan yang ketara terutamanya di bahagian pertahanan walaupun melakar kemenangan,” katanya.
Malah, kapten mereka, Martin Odegaard turut menerima kritikan media tempatan susulan persembahan kurang memberangsangkan ketika menentang Iraq.
Norway hanya mencatat satu rekod tanpa bolos dalam lapan perlawanan terakhir mereka dan dijangka berhati-hati dengan ancaman jentera serangan Senegal yang diketuai Nicolas Jackson serta Sadio Mane.-AGENSI










