DAKAR: Persatuan Bolasepak Senegal (FSF) membuat keputusan drastik apabila memecat ketua jurulatih, Pape Thiaw susulan kegagalan pasukan itu memenuhi harapan pada kempen Piala Dunia 2026.
Keputusan itu diumumkan FSF selepas menilai prestasi hambar Senegal yang tersingkir lebih awal meskipun hadir ke kejohanan berstatus juara Afrika dan antara pasukan pilihan dari benua berkenaan.
Senegal melangkah ke Piala Dunia dengan reputasi tinggi selepas menewaskan Maghribi pada final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) Januari lalu, namun gagal menterjemahkan prestasi itu di pentas terbesar bola sepak dunia.
Mereka memulakan saingan dengan dua kekalahan berturut-turut kepada Perancis dan Norway sebelum sekali lagi dikecewakan Belgium pada pusingan 32 terakhir.
Lebih memeritkan, Senegal mensia-siakan kelebihan 2-0 ketika perlawanan hanya berbaki lima minit apabila Belgium bangkit menyamakan kedudukan sebelum melengkapkan kemenangan 3-2 menerusi masa tambahan untuk menamatkan cabaran Lions of Teranga.
Nasib Thiaw juga dilihat semakin sukar selepas beliau dijadual menjalani penggantungan lima perlawanan bermula September ini dalam kempen kelayakan AFCON 2027.
Penggantungan itu dikenakan susulan tindakannya mengarahkan pemain Senegal meninggalkan padang sebagai bantahan terhadap keputusan penalti yang diberikan kepada Maghribi ketika final AFCON di Rabat.
Menurut laporan akhbar Perancis, L’Equipe, bekas pemain tengah Perancis yang pernah menjulang Piala Dunia 1998, Patrick Vieira muncul antara calon utama untuk mengisi kekosongan kerusi panas skuad Senegal.
FSF dijangka mengumumkan perkembangan lanjut mengenai pelantikan jurulatih baharu dalam sidang media yang dijadual berlangsung Isnin ini.-AGENSI










