TITAH berhubung kepentingan bahasa Melayu selaku bahasa negara sepatutnya diterima baik setiap rakyat bukan sahaja dengan hati terbuka, juga penuh keinsafan.
Namun, hal ini tidak berlaku sedemikian apabila masih ada sesetengah pihak mahu terus mempertikai kepentingan bahasa Melayu.
Perkara ini tidak sepatutnya berlaku setelah semua etnik mempersetuju kedudukan mulia bahasa Melayu dalam Perjanjian Etnik 1955 yang secara longgarnya lebih dikenali Kontrak Sosial.
Kewujudan kelompok yang menentang sangat menyedihkan. Persoalan lebih besar lagi serius ialah sikap penentangan ini menunjukkan kegagalan proses pembentukan bangsa.
Proses ini merujuk usaha mewujudkan ikatan daripada semua etnisiti di negara ini untuk memiliki perasaan sepunya iaitu rasa terikat kepada nasionaliti Malaysia, selain setia kepada nasionalisme negara.
Dalam hal kegagalan ini, persoalannya ialah mengapakah masih ada kelompok yang datang daripada satu etnisiti tidak mahu memahami kepentingan menerima bahasa Melayu secara praktikal dalam konteks sebagai bahasa negara.
Sebenarnya penerimaan bahasa Melayu secara pengakuan sahaja tidak boleh sesekali diterima sebagai realiti. Ini kerana ia retorik semata-mata, sedangkan perbuatannya bukan sahaja tidak selari langsung malah bertentangan dengan pengakuan positif dibuat itu. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas pada komen di media sosial sekali gus bukan sahaja memperlihat betapa tidak patriotiknya sesetengah daripada kita, bahkan kejahilan yang sangat bebal walaupun sudah lama tinggal di negara ini yang merupakan bumi Melayu-Islam.
Kegagalan bernegara hendaklah segera diatasi dan tidak boleh lagi dianggap terpencil. Ini kerana turut memalitkan seluruh etnik Cina.
Dalam hal ini, membawa bahaya kepada kedua-dua proses pembinaan negara dan pembentukan bangsa.
Untuk pembinaan negara, memberi kesan kepada kedaulatan negara. Ini kerana bahasa negara tidak mahu diterima secara praktikal dalam kehidupan nasional sekali gus menjejaskan kejayaan proses pembinaan negara.
Manakala bagi pembentukan bangsa, kegagalan ini pasti akan mempengaruhi kualiti warganegara. Walaupun melibatkan sebahagian sahaja, namun sudah cukup untuk memperlihat tiadanya perkongsian penuh dalam hal pendukungan utuh kepada identiti nasional untuk Malaysia dan identiti budaya bagi rakyatnya.
Maka, dengan adanya titah daripada ketua negara yang tegas itu, bukan sahaja tidak boleh sesekali diderhakai, dalam masa sama kepimpinan etnik Cina wajib mengambil langkah positif lagi konkrit untuk menangani persoalan enggan menerima bahasa Melayu dengan seadanya selaku bahasa negara ini.
Umum mengetahui bahawa keengganan tersebut memang wujud dan dapat dilihat dalam sebahagian tingkah laku masyarakat etnik Cina, termasuk dalam kalangan mereka yang secara terbuka menyatakan penerimaan. Hal ini kerana perbuatan dan amalan seharian sering kali lebih jelas dan mudah diperhatikan berbanding sekadar kenyataan atau kata-kata semata-mata.
Untuk ini, etnik Cina perlu mengimbangi matlamat kebendaan semata-mata, iaitu sangat berorientasikan wang dan kekayaan dalam hidup, dengan kehidupan yang memberi tumpuan kepada perkara bukan material yang bukan Cina. Antaranya aspek sosial dan budaya negara, termasuklah bahasa Melayu dalam konteks nilai kenegaraannya.
Sehubungan ini, etnik Cina tidak boleh lagi berterusan mahu membandingkan bahasa Melayu dengan bahasa etnik mereka, apatah lagi dengan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa paling berjaya. Dari satu segi, bahasa Melayu pada masa ini memang tidak setanding nilai ekonominya dengan bahasa Mandarin, apatah lagi dengan bahasa Inggeris.
Pun begitu, bahasa Melayu wajib dilihat sebagai mempunyai kepentingan kenegaraan yang tidak terhingga nilainya. Dengan ini, wajib dibanggai, disayangi dan ditaati atas beberapa faktor.
Antara yang terpenting ialah ikatan sentimental dalam bentuk perasaan primordial kepada Malaysia sebagai tanah air.
Dalam hal ini, etnik Cina setelah memilih Malaysia pada Kontrak Sosial wajib menganggap hanya Malaysia sebagai entiti yang mewakili mereka. Sehubungan ini, mereka wajib bukan sahaja menerima dasar bahasa di negara ini tetapi menghargainya atas keistimewaan unik yang tidak terdapat di mana-mana tempat lain yang dipilih etnik Cina untuk bermastautin.
Di Malaysia, bahasa Mandarin hanya menjadi penting selepas bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kerana penggunaannya lebih tertumpu dalam ranah keluarga dan komuniti tertentu. Walaupun bahasa Mandarin ialah antara bahasa dunia yang besar serta bahasa rasmi sebuah kuasa politik, ekonomi dan budaya yang berpengaruh, namun dalam konteks Malaysia ia perlu difahami sebagai bahasa vernakular yang digunakan khusus dalam kalangan etnik Cina.
Sebagai vernakular, bahasa Mandarin tidak patut menikmati apa-apa jua status di peringkat kebangsaan, biarpun diberikan status itu di negara ini. Antaranya dalam bentuk jenis kebangsaan, yakni ala atau separa kebangsaan, pada institusi pendidikan kerajaan tertentu.
Sebenarnya ini merupakan konsesi paling murah hati di muka bumi ini yang pernah diberikan penduduk asal kepada puak luar. Ia sepatutnya dihargai dan disyukuri, bukannya dipertikai sebagai tidak mencukupi atau tidak adil.
Dengan adanya sikap begini, bukan sahaja etnik Cina didapati sangat rakus malah seperti kaduk naik junjung yakni menjadi angkuh setelah berjaya. Mereka juga dilihat tidak tahu diuntung.

WAJIB JUNJUNG TITAH
Untuk menjunjung titah itu, etnik Cina melalui setiap pemimpin mereka dari segenap bidang, hendaklah memikirkan langkah strategik untuk melaksananya. Ini penting untuk semua etnik Cina menerima kepentingan bahasa Melayu dalam konteksnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Langkah ini tidak boleh lagi bersifat pengakuan sahaja, iaitu kepentingan bahasa Melayu sekadar dilafazkan di bibir semata-mata sebaliknya perlu diterjemah melalui perbuatan konkrit yang menyakinkan. Bermakna, perlu betul-betul dilakukan sehingga mencapai kejayaan.
Sebenarnya etnik Cina tidak pernah berusaha secara serius untuk menerima bahasa Melayu dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Antaranya untuk mengetahui bahasa Melayu dengan baik bagi menguasainya pada tahap tinggi, supaya memiliki rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan dan menggunakannya dengan setia selaku bahasa rasmi.
Dalam pada ini, etnik Cina tidak boleh lagi berungut tentang keberadaan bahasa Melayu, iaitu tiada banyak nilai dan lain-lain yang seumpamanya. Sebaliknya, menerimanya selaku bahasa negara tanpa apa-apa jua syarat.
Hal ini kerana ia merupakan perkara wajib untuk menghormati dan melindungi bahasa negara. Ini hendaklah dilihat bukan sahaja sebagai kewajipan patriotik, juga kesyukuran, penghormatan dan tanggunjawab kepada negara.
Oleh itu, amat dikesali apabila titah itu disahut dengan sindiran agar etnik Cina secara beramai-ramai berpindah ke negara ini. Ini bukan sahaja tindakan dajal, malah derhaka kerana mengingkari perintah pemerintah tertinggi negara, dalam masa sama menghasut pula.
Sesungguhnya titah itu bukan sahaja sangat benar, juga adil sekali. Ini kerana tiada gunanya apabila adanya duri dalam daging. Golongan ini hanya akan mewujudkan masalah dalaman yang boleh membawa kesusahan kepada semua pihak.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










