PETALING JAYA: Kekalahan awal Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pusingan pertama Indonesia Masters mencetuskan persoalan terhadap tahap permainan sebenar beregu No. 2 dunia itu, meskipun isu keletihan diketepikan oleh barisan kejurulatihan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, punca utama kekalahan bukan berpunca daripada jadual padat, sebaliknya kelemahan teknikal yang ketara sepanjang perlawanan.
“Hari ini aspek pertahanan Aaron dan Wooi Yik tidak berfungsi dengan baik, terutama ketika mereka cuba mengawal serangan lawan.
“Pada set kedua dan ketiga mereka melakukan terlalu banyak kesilapan sendiri, termasuk pukulan angkat yang terlalu panjang sehingga keluar gelanggang, dan itu memberi mata mudah kepada lawan,” kata Rexy.
Dalam perlawanan di Istora Senayan, Jakarta itu, gandingan pilihan utama kejohanan berkenaan tewas 20-22, 21-19, 21-16 kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard selepas bertarung selama 63 minit.
Kekalahan tersebut merupakan yang pertama buat Aaron-Wooi Yik kepada pasangan ranking ke-28 dunia itu selepas tiga pertemuan sebelum ini, namun prestasi mereka dilihat tidak konsisten khususnya dari segi pertahanan.
Meskipun Indonesia Masters adalah kejohanan ketiga berturut-turut mereka musim ini, Rexy menegaskan tiada tanda keletihan fizikal yang jelas dan menekankan bahawa kegagalan mengekalkan kualiti permainan menjadi faktor penentu.
Situasi itu sekali gus menghidupkan semula perbincangan mengenai keperluan pengurusan kejohanan yang lebih selektif, memandangkan juara dunia 2022 itu sebenarnya tidak terikat untuk beraksi di semua kejohanan Super 500 tanpa risiko kepada kedudukan ranking mereka. – UTUSAN










