KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita muda negara, Siti Zulaikha Muhammad Azmi berdepan cabaran getir apabila dipilih beraksi bersama skuad senior, sekali gus menandakan detik kritikal dalam kariernya menjelang Piala Uber 2026 pada April depan.
Debut di Sukan SEA Thailand 2025 baru-baru ini memberi pengalaman sukar dilupakan apabila beliau kerap berdepan pemain bertaraf antarabangsa, menguji ketahanan mental dan strategi permainan buat pemain berusia 19 tahun itu.
“Dapat banyak bersaing dengan pemain yang lebih bagus dan saya memperoleh lebih banyak pengalaman.
“Saya juga gembira dengan keseluruhan prestasi saya tahun ini terutama apabila saya mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu menembusi kelompok 100 terbaik dunia apabila kini berada di ranking ke-90,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelmarin.
Posisi perseorangan ketiga ketika Sukan SEA 2025 yang sering kali menjadi penentu kemenangan pasukan wanita, Zulaikha sedar tanggungjawab besar itu menuntut fokus serta kesungguhan maksimum daripada pemain muda itu.
“Pertama kali bermain senior dalam perlawanan penentu mengajar saya erti tekanan sebenar dan cara mengurus emosi ketika saat genting,” katanya.
Kehadiran ketua jurulatih wanita baharu, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dilihat memberi impak besar dalam disiplin dan pendekatan latihan Zulaikha menjelang Piala Uber.
“Iskandar banyak membantu dari segi disiplin dan memperkenalkan perkara baharu yang meningkatkan kualiti latihan saya,” katanya.
Untuk rekod, prestasi peribadinya turut melonjak apabila berjaya menembusi kelompok 100 terbaik dunia dan kini menduduki ranking ke-90, melepasi sasaran awal yang ditetapkan pada awal tahun. – UTUSAN










