Tiada alasan tidak lepaskan pemain

Tiada alasan tidak lepaskan pemain

Persiapan skuad kebangsaan Bawah 23 ke Sukan SEA 2025 Thailand sebelum ini berdepan dengan halangan berikutan kekangan mendapatkan pemain yang terikat dengan komitmen bersama kelab masing-masing. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya perlu menjadi pasukan yang kuat dengan dibarisi pemain terbaik bagi menyertai Liga Negara-Negara oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sebuah kejohanan baharu ketika rehat antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk menghimpunkan pemain terbaik memandangkan kelab Liga Super sudah tidak mempunyai alasan untuk enggan melepaskan pemain mereka memandangkan kejohanan tersebut tersenarai dalam FIFA.

Katanya, alasan tidak melepaskan pemain kerana kejohanan tidak diiktiraf oleh FIFA sering kali digunakan oleh pasukan Liga Super ketika Piala ASEAN dianjurkan dan terbaharu Sukan SEA 2025 Thailand.

“Satu perkembangan positif untuk pasukan kebangsaan sebab kebiasaannya skuad sering berada dalam keadaan tidak bersedia sepenuhnya malah pemain terbaik juga tidak dapat digunakan kerana kelab tidak mahu lepaskan.

“Jadi, selepas ini tiada lagi alasan kelab Liga Super untuk tidak melepaskan pemain mereka kerana keutamaan perlu diberikan kepada kejohanan itu memandangkan ia tersenarai dalam FIFA.

“Persaingan antara pemain muda dan senior juga akan meningkat, secara tak langsung ia akan memperbanyakkan bakat pemain untuk Harimau Malaya,” katanya.

Sebelum ini, AFC mengumumkan pelancaran kejohanan baharu, Liga Negara-Negara sebagai usaha meningkatkan tahap persaingan serta nilai komersial pasukan kebangsaan di seluruh benua itu.

Begitupun dalam kenyataan dikeluarkan, AFC tidak menetapkan tarikh mula kejohanan namun memaklumkan pertandingan akan dijalankan menggunakan kalender jendela antarabangsa FIFA sedia ada.

Zulakbal menambah, dengan adanya kejohanan tersebut, secara tidak langsung negara-negara seperti Laos dan Timor-Leste turut mampu meningkatkan tahap permainan mereka.

“Negara-negara kecil pun boleh bersaing di peringkat tertinggi. Sebelum ini kita jarang dengar Andora atau Faroe Islands tapi dengan adanya kejohanan ini mereka dapat bersaing dengan negara-negara besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN