KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang berlangsung Sabtu lalu membuktikan realiti politik yang sudah lama berakar dalam landskap negeri itu apabila majoriti pengundi masih menaruh kepercayaan kepada parti tempatan sebagai wadah paling sesuai memperjuangkan aspirasi mereka.
Seperti dijangka banyak pemerhati politik, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali lagi muncul sebagai pemenang, sekali gus mengekalkan Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Di sebalik kemenangan itu terselit pelbagai mesej penting yang bukan sahaja kepada parti tempatan, malah kepada parti nasional yang berusaha menempatkan diri dalam politik Sabah.
Sejak beberapa bulan sebelum PRN, GRS sudah pun berada dalam posisi selesa untuk mengekalkan pentadbiran negeri.
Kepimpinan Hajiji yang dianggap lebih stabil berbanding beberapa tempoh getir yang pernah dilalui Sabah sebelum ini membuatkan rakyat yakin negeri itu tidak lagi memerlukan perubahan drastik dalam kerajaan.
Pendekatan Hajiji yang pragmatik dalam memastikan hubungan baik dengan Putrajaya tanpa mengorbankan tuntutan hak negeri memberi GRS kelebihan berbanding parti lain.
Faktor lain yang menyumbang kemenangan ialah naratif GRS sebagai parti yang lebih ‘dekat’ dengan denyut nadi masyarakat tempatan. Fokus kepada isu asas seperti pembangunan luar bandar, jaringan jalan raya, peluang ekonomi serta agenda berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi tarikan kuat dalam kalangan pengundi.
Dalam suasana politik yang dilihat tidak menentu, rakyat memilih kesinambungan berbanding eksperimen baharu. Maka, kemenangan GRS bukan sahaja menggambarkan kejayaan strategi gabungan itu tetapi juga keinginan rakyat untuk melihat pentadbiran negeri berjalan tanpa pergolakan lagi.
Dengan mandat baharu ini, Hajiji dijangka meneruskan agenda pembangunan berfokus kepada autonomi negeri dan pembaharuan ekonomi. Namun, cabaran sebenar bukan sekadar mengekalkan kestabilan tetapi memastikan setiap janji pembangunan benar-benar diterjemahkan kepada hasil yang boleh dirasai rakyat.
SENTIMEN PENGUNDI BELUM BERUBAH TERHADAP DAP
Keputusan paling ketara dalam PRN Sabah kali ini ialah kekalahan total DAP. Walaupun parti itu mencuba pelbagai pendekatan sejak beberapa kali PRN lalu, realitinya pengundi Sabah masih belum bersedia menerima DAP sebagai pemain utama politik negeri tersebut.
DAP berhadapan persepsi sebagai parti Semenanjung dan membawa pendekatan politik yang tidak sepenuhnya selari dengan realiti tempatan. Sabah memiliki komposisi etnik, kultur politik dan keutamaan masyarakat yang berbeza daripada landskap nasional. Walaupun calon-calon tempatan diketengahkan, namun sentimen terhadap parti itu masih sukar diubah.
Kekalahan ini turut menunjukkan naratif parti-parti tempatan yang menekankan identiti kenegerian masih sangat kuat. Di Sabah, faktor kepercayaan terhadap parti yang memahami jiwa negeri lebih penting berbanding hubungan dengan parti besar di peringkat Persekutuan.
DAP perlu melakukan penilaian semula strategi akar umbi dan memahami lebih mendalam apa yang benar-benar diinginkan komuniti Sabah jika mahu ‘mencuri’ hati mereka.
BN MASIH BERJUANG SAYANGNYA SOKONGAN BELUM PULIH
Bagi Barisan Nasional (BN), keputusan PRN kali ini memberi gambaran jelas usaha mereka untuk mengembalikan kepercayaan rakyat masih jauh dari sasaran.
Walaupun BN pernah mendominasi Sabah selama beberapa dekad, legasi itu menjadi cabaran apabila pengundi mahukan wajah politik baharu yang lebih segar dan bebas daripada imej politik lama.
Hubungan pasang surut BN dengan GRS sebelum ini turut memberi kesan kepada sokongan pengundi. Sebahagian rakyat mungkin melihat BN sebagai tidak konsisten dalam hala tuju politik di Sabah. Lebih memburukkan keadaan, generasi muda di kawasan bandar dan pinggir bandar lebih cenderung kepada parti tempatan yang dilihat lebih memahami isu setempat.
Jika BN berhasrat untuk bangkit dalam PRN ke-18, ‘kerja rumah’ mereka perlu bermula dari sekarang, merangkumi membina jaringan komuniti lebih kuat, mempromosikan pemimpin baharu yang diyakini serta menawarkan dasar yang benar-benar mengambil kira realiti Sabah masa kini.
Tanpa transformasi menyeluruh, sukar untuk BN kembali menjadi pilihan utama pengundi.
KEMENANGAN MENGEJUT PAS
Di sebalik dominasi parti tempatan, satu keputusan menarik muncul daripada kemenangan Pas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai melalui Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang berjaya memperoleh majoriti 365 undi. Walaupun majoritinya tidak besar, kemenangan ini memiliki nilai simbolik yang signifikan.
Selama ini, Pas sukar menembusi politik Sabah kerana parti itu dianggap membawa acuan politik Semenanjung yang berbeza dengan budaya tempatan. Namun, kemenangan Aliakbar menunjukkan adanya kelompok pengundi yang mula menerima parti Islam itu, mungkin kerana faktor calon itu sendiri yang mempunyai kredibiliti akademik, hubungan tempatan yang baik dan pendekatan kempen lebih sederhana.
Penerimaan ini walaupun kecil, namun menandakan potensi pertumbuhan Pas di kawasan tertentu sekiranya parti ini terus menggunakan strategi yang sesuai dengan realiti sosial Sabah.
Namun, kemenangan ini tidak harus ditafsirkan sebagai gelombang besar, sebaliknya hanya ‘pintu kecil’ yang baru terbuka dan memerlukan kerja keras untuk diperluas.
Pun begitu, isu Gardenia menjadi senjata makan tuan bagi Perikatan Nasional (PN). Inilah bukti apabila ‘isu kecil’ gagal ditangani dengan bijak dari sudut komunikasi politik.
Sentimen yang pada asalnya bermula sebagai salah faham berubah menjadi persepsi PN tidak peka dengan realiti rakyat, sekali gus menjejaskan usaha mendekati pengundi di Sabah. Ada yang berpendapat, isu ini memberi kesan psikologi kerana PN mudah terperangkap dalam polemik nasional yang tidak menguntungkan.
Keseluruhannya, PRN Sabah sekali lagi membuktikan politik negeri itu memiliki dinamika unik yang tidak boleh dilihat melalui lensa standard politik nasional.
Kemenangan GRS, kejatuhan DAP, prestasi sederhana BN dan kejayaan kecil Pas semuanya menceritakan perkara sama yang mana rakyat Sabah menilai berdasarkan siapa yang mampu memahami, menyantuni dan memperjuangkan kepentingan negeri secara tulen.
Parti tempatan kekal menjadi pilihan kerana mereka dilihat lebih dekat, lebih faham keutamaan masyarakat dan lebih bebas daripada pergolakan politik Semenanjung.
Keputusan ini harus menjadi peringatan kepada parti nasional yang Sabah memerlukan pendekatan khusus, bukan strategi seragam dari Kuala Lumpur.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










