Pemain perseorangan badminton 'membimbangkan'

Pemain perseorangan badminton ‘membimbangkan’

Leong Jun Hao-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemain No.1 dunia, Roslin Hashim menegur prestasi merudum sektor perseorangan lelaki negara yang seolah-olah tiada hala tuju dan menyulitkan sasaran jangka panjang.

Beliau menegaskan kegagalan berterusan Leong Jun Hao dan Justin Hoh menembusi pusingan kedua Kumamoto Masters 2025 mendedahkan jurang sebenar pembangunan pelapis berkaliber.

“Kalau tanya saya, saya tidak risau pasal mereka (prestasi) sebab tidak jaga dia mereka. Tetapi kita sebagai orang luar tengok keputusan mereka memang mengecewakan.

“Bila kita tengok sejak akhir-akhir ini lagi lama lagi teruk lihat terkandas pusingan pertama. Sebelum ini (bermain) pun bukan bagus sangat, sekarang hujungnya lagi teruk,” kata Roslin kepada Utusan Malaysia.

Beliau turut membidas mentaliti pemain yang terlalu mudah tertekan, termasuk Jun Hao yang dikatakan terbeban memikul status nombor satu negara.

“Buat apa nak tertekan, patut lagi bangga, kalau sendiri bagi jawapan macam tu memang dia lemah.

“Kalau masih lagi berterusan macam ini, dia tak bolehlah (bermain), susah kerana dia sudah 26 tahun dan satu keputusan pun tidak ada walaupun hendak mara ke suku akhir pun susah,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau mempertahankan pelantikan pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan dari Denmark, Kenneth Jonassen bukan punca masalah, sebaliknya ia bergantung kepada kesediaan pemain menyesuaikan diri dengan corak latihan.

“Jonassen dah sebati dengan corak permainan Asia. Yang tentukan keputusan adalah kemahuan pemain sendiri. Kalau pemain tidak serius, latihan hebat pun tidak akan memberi kesan,” ujarnya.

Jun Hao berdepan dengan ketidaktentuan prestasi apabila tewas pada aksi pusingan pertama sebanyak lima kali berturut-turut sejak Terbuka Korea Selatan yang berlangsung pada September lalu.

Untuk rekod, Jun Hao tewas pada pusingan awal sebanyak 17 kali musim ini manakala Justin mencatat 13 sekali gus mempersoalkan kemana hala tuju kem perseorangan lelaki ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN