DUNIA hari ini berada pada tahap kemajuan yang tinggi, mampu memenuhi keperluan manusia di seluruh pelusuk dunia, termasuk rakyat Malaysia.
Seharusnya, kemajuan ini diiringi dengan pemikiran matang dan adab mulia dalam masyarakat. Ironinya, dalam era moden di mana ilmu boleh diperoleh di hujung jari, adab dalam kehidupan masyarakat semakin pudar.
Ramai petah berhujah, mengemukakan dalil tetapi kasar dalam pertuturan, menyelitkan hinaan dan perlian terhadap pihak yang tidak sefahaman.
Lidah yang lantang menyuarakan kebenaran, namun gagal menzahirkan akhlak dan peribadi seorang beriman, apatah lagi mencontohi Rasulullah SAW dalam tutur kata dan tindakannya.
Para ulama menekankan ilmu dan adab harus berjalan seiring. Jika terpisah, generasi yang berilmu tinggi mungkin hilang adabnya terhadap manusia dan Allah SWT.
Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik kepada orang yang menentang kebenaran…”
Ayat ini menegaskan setiap perkataan harus dijaga kerana kata-kata baik mampu menjadi ubat yang menyembuhkan, sementara kata-kata buruk boleh merosakkan dan memutuskan silaturahim.
Perbezaan dan perselisihan faham adalah fitrah manusia yang tidak dapat dielakkan. Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 118-119 menyatakan jika Dia kehendaki, semua manusia boleh dijadikan umat yang satu. Namun, Dia memilih sebaliknya kerana wujud hikmah di sebalik perbezaan iaitu untuk menguji hamba-hamba-Nya dan melihat bagaimana mereka menguruskan perselisihan tersebut.
Hadis daripada Sa’ad bin Abi Waqqas RA menjelaskan Rasulullah SAW pernah memohon agar umatnya tidak berselisih tetapi doa itu tidak diperkenankan. Para ulama menafsirkan ini adalah untuk melihat bagaimana umat menguruskan perbezaan, di mana perbezaan adalah rahmat jika disertai ilmu dan adab tetapi menjadi malapetaka jika lahir daripada amarah dan prasangka buruk.
Islam menekankan adab dan bersangka baik terhadap sesama manusia. Sangka buruk hanya membuka pintu permusuhan yang tidak berkesudahan. Orang beriman seharusnya mencari alasan untuk memaafkan dan bukan mencipta sebab untuk saling membenci.
Umat Islam juga diajar untuk berlapang dada walaupun berhadapan dengan pandangan berbeza. Tidak perlu cepat menghukum atau taksub terhadap pendapat sendiri. Tujuan utama bukan sekadar menang berhujah tetapi menjaga hati dan persaudaraan sesama manusia.
Rasulullah SAW mencontohkan adab tinggi dalam mengurus perbezaan pandangan. Dalam peristiwa Bani Quraizah, baginda tidak menyalahkan sahabat yang memahami arahan dengan cara berbeza ketika solat Asar, meskipun ada perbezaan pandangan.
Ini menunjukkan perbezaan kefahaman tidak semestinya membawa perpecahan jika diurus dengan adab dan sikap berlapang dada. Islam bukan sahaja menuntut kesepakatan tetapi juga meraikan perbezaan dengan hikmah.
Perbezaan pandangan harus diurus melalui perbincangan berdepan, mencari titik persamaan dan menghindari saling memburukkan atau bersengketa di media sosial.
Islam melarang perkataan kasar atau keji. Hadis daripada Abdullah bin Amr RA menegaskan Rasulullah SAW bukanlah orang yang berkata keji atau melakukan keji dan baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kamu ialah yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat Imam al-Bukhari).
Malangnya, umat Islam hari ini lebih menekankan perbezaan kecil yang memecahbelahkan, daripada menumpukan perhatian kepada isu utama demi kemaslahatan umat. Isu remeh sering dipertahankan sehingga menimbulkan permusuhan, sementara isu besar yang memerlukan penyelesaian bersama diabaikan. Justeru, usaha mencari titik persamaan ke arah memajukan umat Islam adalah lebih penting supaya umat tetap kuat dan disegani, bukan hanyut dalam perbalahan yang membinasakan.
Kesatuan umat Islam tidak boleh dibiarkan pecah kerana musuh Islam pasti bergembira melihat kita berselisih.
Kesatuan hakiki tercapai hanya apabila kita berserah diri kepada Allah SWT, menjaga adab dan akhlak, serta menjauhi perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan cara ini, kita mampu menikmati keharmonian meskipun wujud perbezaan yang semula jadi.
MELENGKAPI PERBEZAAN
Setiap perbezaan adalah rahmat jika diiringi ilmu dan adab. Perbezaan bukan untuk saling menindas tetapi untuk melatih kesabaran, pengurusan emosi dan kemampuan bersikap bijaksana. Apabila umat Islam mampu mengekalkan akhlak tinggi walaupun berbeza pendapat, ukhuwah akan terpelihara dan perpecahan dapat dielakkan.
Dalam kehidupan moden, di mana teknologi memudahkan komunikasi tetapi turut mencetuskan konflik, adab dalam bertutur dan berinteraksi menjadi semakin penting. Islam mengajar agar setiap kata-kata yang diucap tidak hanya benar tetapi baik, membina dan menyatukan.
Dalam konteks masyarakat kini, pelajaran ini relevan kerana banyak perselisihan timbul bukan kerana isu besar tetapi cara penyampaian yang kasar, menghakimi dan tidak beradab.
Sebagai kesimpulan, umat Islam harus sentiasa mengingat ilmu tanpa adab adalah sia-sia. Perbezaan faham harus diurus dengan hikmah, kesabaran dan kelembutan dalam pertuturan.
Islam mengajar untuk menegur dengan baik, menerima pandangan berbeza dengan lapang dada dan mengutamakan persaudaraan berbanding kemenangan dalam hujah.
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam memelihara adab, menghormati perbezaan dan menyatukan umat melalui akhlak yang mulia.
Hanya dengan ilmu yang dibimbing adab dan akhlak, umat Islam mampu membina masyarakat yang harmoni, berilmu dan bertakwa.
Dalam dunia moden yang serba pantas ini, keseimbangan antara kemajuan ilmu dan kemuliaan akhlak adalah kunci untuk mengekalkan ukhuwah, memelihara keamanan dan memastikan perbezaan tidak menjadi punca perpecahan, sebaliknya menjadi rahmat yang menyuburkan kerjasama, toleransi dan keharmonian sejagat.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Ashrof Zaki Yaakob ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.










