Peluang Aaron-Wooi Yik tambah gelaran

Peluang Aaron-Wooi Yik tambah gelaran

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan beraksi di Jerman hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang menambah koleksi gelaran keempat musim ini apabila turun beraksi pada Terbuka Hylo bermula hari ini di Saarbrucken, Jerman.

Ketiadaan gandingan No.1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang baru menjuarai Terbuka Perancis minggu lalu, membuka laluan lebih cerah buat juara dunia 2022 itu untuk menamatkan siri kejohanan Eropah dengan kejayaan manis.

Undian turut memihak kepada pasangan ranking kedua dunia itu apabila dijangka mudah melepasi pusingan pertama menentang pasangan kembar Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley sebelum dijangka berdepan cabaran sebenar di separuh akhir.

Cabaran getir dijangka hadir daripada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang sudah dua kali menewaskan mereka tahun ini termasuk di separuh akhir Terbuka Perancis dan final Terbuka China, Julai lalu.

Aaron mengakui mereka masih mencari formula terbaik untuk menyaingi pasangan baharu Indonesia itu yang memiliki variasi permainan sukar dijangka.

“Kami masih menyesuaikan diri dengan corak permainan mereka kerana mereka pasangan baharu dan banyak variasi.

“Kami akan terus menganalisis dan belajar bagaimana untuk menghadapi mereka dengan lebih baik,” kata Aaron.

Sementara itu, Wooi Yik menegaskan aspek ketahanan mental menjadi fokus utama selepas menamatkan siri kejohanan Eropah yang padat sejak awal Oktober ini.

“Kami banyak belajar dari segi mental sepanjang berada di Eropah dan kini fokus sepenuhnya untuk minggu terakhir ini,” kata Wooi Yik.

Musim ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik sudah mengumpul tiga kejuaraan besar termasuk Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura, selain muncul naib juara Terbuka Arctic, Malaysia Masters dan Terbuka China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×