Palestin turun tanpa pemain utama

Palestin turun tanpa pemain utama

SKUAD Palestin menyesuaikan diri dalam latihan ringan, semalam menjelang pertemuan persahabatan menentang Harimau Malaya di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Palestin, Ehad Abu Jazar bakal menguji kemampuan barisan pemain muda apabila berdepan Malaysia pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Beliau berkata, ini ekoran beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan setelah mengalami kecederaan ketika membuat persiapan bagi pembukaan liga domestik.

Katanya, antara pemain yang tidak dapat diturunkan ialah Musab Al Battat, Assad Al Hamlawi, Mohammed Saleh, Ameed Mahajna, Ameed Sawafta dan Agustin Manzur.

“Walaupun tanpa kehadiran pemain utama, kami memandang serius mengenai perlawanan penting ini sebagai persiapan pasukan menjelang aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

“Ini menjadi peluang buat pemain baharu untuk menonjolkan kemampuan mereka. Bagaimanapun, bukan semua pemain baharu, ada juga pemain senior yang akan diturunkan setelah perlawanan ini membantu kedudukan ranking FIFA.

“Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan setelah Malaysia juga mempunyai pemain yang berkualiti dan mereka bermain dengan baik secara sepasukan. Justeru, kita perlu bekerja keras bagi meraih kemenangan,” katanya.

Mengikut rekod pertemuan, Palestin meraih tiga kemenangan dan satu kekalahan ketika berdepan Harimau Malaya dengan pertembungan terakhir Malaysia tewas 0-6 pada 2015.

Pengendali berusia 45 tahun itu berkata, pasukan Harimau Malaya sudah banyak berubah berbanding kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu.

Ditanya mengenai pasukan lawan yang diperkuat dengan pemain luar negara berdarah kacukan, Ehad berkata, pemain tersebut yang mempunyai pengalaman di Eropah di luar negara memberi nilai tambah kepada pasukan.

“Walaupun mereka berdarah kacukan, mereka tetap pemain Malaysia dan bermain sepenuh hati demi lencana di dada, dan mereka lakukannya dengan rasa bangga.

“Malaysia kini menjadi pasukan yang kuat dengan corak permainan menyerang yang pantas, kita tahu mereka semakin berkembang. Pastinya, kami perlu lakukan yang terbaik dan tidak boleh menyerah kalah hingga wisel penamat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×