Liverpool bakal turunkan penyerang termahal

Liverpool bakal turunkan penyerang termahal

Alexander Isak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL, England: Penyerang baharu Liverpool, Alexander Isak dijangka membuat penampilan sulung bersama The Reds menentang Burnley di Turf Moor, malam ini.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, menandatangani Isak dari Newcastle pada hari terakhir jendela perpindahan dengan yuran rekod Britain sebanyak 125 juta pound (RM712 juta), menambah kekuatan serangan skuad mereka.

Kehadiran Isak menyusul selepas rundingan panjang dalam sebahagian daripada perbelanjaan besar lebih 400 juta pound (RM2.28 bilion) Liverpool pada musim panas ini, walaupun cubaan menandatangani pertahanan Crystal Palace dan England, Marc Guehi gagal pada saat akhir.

“Banyak perkara berlaku pada hari terakhir (jendela perpindahan), yang tidak selalu terjadi, kerana musim lalu kami hampir tidak melakukan apa-apa sepanjang jendela.

“Tetapi perkara yang paling menggembirakan saya sudah tentu kami berjaya menyelesaikan urusan mendapatkan Alex.

“Mungkin akan diturunkan tapi kita lihat keadaan Isak pada hari perlawanan nanti,” kata pengurus Liverpool, Arne Slot.

Slot turut memuji pengurus Sweden, Jon Dahl Tomasson mengenai pendekatan caranya mengurus beban permainan Isak sepanjang perlawanan antarabangsa baru-baru ini.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang belum bermain untuk kelab musim ini, duduk di bangku simpanan ketika Sweden seri 2-2 dengan Slovenia pada kelayakan Piala Dunia dan masuk sebagai pemain gantian lewat ketika tewas 0-2 di tangan Kosovo.

“Dia salah seorang penyerang terbaik, mungkin yang terbaik di dunia dan perlu bermain dua perlawanan penting untuk negaranya. Tetapi beliau faham jika bermain penuh 90 minit dalam kedua-dua perlawanan, mungkin pemain itu akan cedera.

“Itu bukan perkara mudah buat seorang pengurus, menjaga kepentingan pemain. Jadi beliau wajar menerima pujian. Kami akan layan Alex sama seperti mereka lakukan, jadi jangan harapkan dia bermain 90 minit setiap perlawanan.

“Itu pasti tidak akan berlaku dalam beberapa minggu akan datang. Dia terlepas pramusim, saya rasa tiga atau empat bulan sesi latihan pasukan, jadi sekarang kami kena membina semula dia secara berperingkat, dengan jadual perlawanan yang padat dan masa latihan yang terhad,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN