PRISTINA: Penyerang termahal Liga Perdana Inggeris (EPL), Alexander Isak gagal membantu Sweden dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.
Sweden memasang impian besar untuk ke Piala Dunia 2026, namun hasrat mereka terencat apabila dimalukan Kosovo 2-0 biarpun dibarisi pemain bintang.
Dalam aksi itu, Sweden ketinggalan pada minit ke-26 apabila penjaga gol, Robin Olsen menepis percubaan Elvis Rexhbecaj tetapi bola muntah terkena betis pemain tengah itu lalu masuk ke gawang.
Vedat Muriqi menggandakan jaringan untuk Kosovo tiga minit sebelum rehat dan walaupun Sweden memasukkan Isak, Sweden tetap gagal mencari jalan untuk bangkit mengatasi lawan.
Kemenangan itu meletakkan Kosovo di tangga kedua Kumpulan B dengan tiga mata, tiga di belakang Switzerland yang membelasah Slovenia 3-0 untuk mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan.
Sweden kini berada di tempat ketiga dengan satu mata selepas seri 2-2 dengan Slovenia pada Jumaat lalu.
Pasukan yang menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir tahun depan manakala naib juara mara ke playoff. – AGENSI/UTUSAN










