LONDON: Arne Slot mengakui tidak lagi memberi alasan berkaitan Alexander Isak sebaliknya memastikan pembeliannya dari Newcastle United pada musim panas lalu berbaloi.
Selepas tiga minggu keputusan yang suram menentang Manchester United di Anfield, Slot kembali merayu agar diberikan lebih kesabaran terhadap pemain termahal dalam sejarah bola sepak Britain itu.
“Saya tahu saya kata pra-musimnya sudah berakhir, dan sudah tiba masa untuk kita melihat di mana tahapnya, tetapi saya terpaksa menarik balik kata-kata itu,” kata bos Reds.
Isak sepatutnya berada pada tahap terbaik sekarang tetapi penyerang Sweden itu masih kelihatan seperti pemain yang Liverpool sebenarnya tidak perlu tandatangani.
“Saya tak boleh mengawal segala yang diperkatakan atau ditulis,” kata Isak tentang reaksi balas yang pahit terhadap kejayaannya menyempurnakan perpindahan tersebut.
Dalam temu bual pertamanya bersama kelab baharunya, Isak mengakui tidak begitu pasti bila akan bersedia dari segi fizikal untuk membuat penampilan sulung bersama Liverpool.
“Saya melalui musim panas yang sukar,” katanya yang jelas merupakan satu ungkapan yang sangat merendahkan keadaan sebenar.
Disebabkan keengganannya mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan pramusim Newcastle, apatah lagi tiga perlawanan pertama Liga Perdana, Isak menyertai Liverpool tanpa bermain walau sesaat pun selama lebih tiga bulan.
Sasaran awal supaya penyerang itu tampil dalam perlawanan Liga Perdana pertama selepas rehat antarabangsa September lalu, menentang Burnley tetapi walaupun dia beraksi selama 18 minit dalam kelayakan Piala Dunia Sweden di Kosovo, Slot memutuskan untuk tidak mengambil risiko menurunkannya di Turf Moor.
“Kami mendapatkannya dari Newcastle dalam keadaan di mana anda boleh katakan pramusimnya baru akan bermula ketika itu,” kata pengendali dari Belanda itu.
Walaupun mengambil pendekatan berhati-hati terhadap Isak, Slot terus meletakkannya dalam kesebelasan utama untuk aksi pembukaan Liga Juara-Juara Liverpool menentang Atletico Madrid empat hari kemudian dan malah pengurus itu sendiri terkejut dengan betapa baiknya persembahan tersebut.
“Saya tidak terkejut dengan kualitinya, kerana kami sudah tahu tentang itu, tetapi saya agak terkejut secara positif dengan tahap kecergasan Alexander sepanjang 60 minit dia beraksi,” kata Slot kepada TNT Sports.
Namun, jika Slot menyangka Isak akan kembali mencapai tahap terbaiknya lebih cepat daripada jangkaan, dia ternyata tersilap besar. – AGENSI/UTUSAN










