Isak lega buka akaun gol bersama Liverpool

Isak lega buka akaun gol bersama Liverpool

Alexander Isak (kanan) meraikan jaringan gol dengan rakan sepasukan dalam aksi menentang West Ham di Stadium London, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penantian lama Alexander Isak untuk menunggu gol pertamanya bersama Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) akhirnya hadir The Reds menang 2-0 ke atas West Ham, semalam.

Penyerang termahal Britain itu, disenarai kembali dalam kesebelasan utama Reds oleh Arne Slot di Stadium London dan gol Isak hadir pada minit ke-60 hasil umpanan Cody Gakpo.

Kali terakhir Isak menjaringkan gol adalah pada Mei lalu, ketika Newcastle seri 1-1 menentang Brighton dan cara gol itu dijaringkan menunjukkan keyakinan tinggi penyerang Liverpool itu.

Bercakap kepada Sky Sports selepas perlawanan, Isak menunjukkan kegembiraan dan kelegaan selepas mendapat gol liga pertamanya untuk Liverpool, malah pemain itu bertekad membina momentum dalam perlawanan akan datang.

“Saya sedar ia sudah lama dinantikan dan saya cuba kembali ke prestasi terbaik saya. Saya masih dalam proses itu tetapi gembira dapat gol itu.

“Perasaan terbaik hari ini (semalam) ialah kami menang perlawanan dan itu cara terbaik untuk membina semangat kumpulan, tetapi sudah tentu saya seorang penyerang, jadi menjaringkan gol sentiasa membantu saya,” kata Isak.

Dia juga berharap momentum kemenangan ini akan berterusan selepas Liverpool bergelut dengan prestasi terumbang-ambing sejak kebelakangan ini.

“Kami perlu menggunakan kemenangan ini dengan baik tetapi juga kekal rendah hati. Kami perlu fokus dan terus bekerja keras untuk mengekalkan momentum ini,” kata Isak. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN