Kempen Super 4 ujian sebenar Speedy Tigers

Kempen Super 4 ujian sebenar Speedy Tigers

Sarjit Singh bersama anak-anak buahnya dalam sesi latihan di Bihar, India, semalam sebelum meneruskan kempen Piala Asia 2025 menentang China hari ini. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun sudah meledak 23 gol sepanjang kempen peringkat kumpulan Piala Asia namun ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh enggan cepat berpuas hati sebaliknya menuntut penyudah yang lebih tajam bagi aksi menentang China hari ini.

Speedy Tigers berada dalam motivasi terbaik selepas mara ke peringkat Super 4 untuk bertemu China di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India sebagai juara Kumpulan B dengan sembilan mata maksimum.

Namun, tempoh rehat sehari yang diberikan penganjur tidak difokuskan kepada rawatan dan pemulihan pemain semata-mata tetapi Sarjit juga mahu mengasah jentera serangan agar lebih klinikal.

“Kita kena lebih tajam. Kalau ada peluang kita kena jaringkan gol dan pertahanan perlu bertahan dengan baik begitu juga dengan penjaga gol.

“Sebelum ini sasaran kita adalah empat pasukan terbaik dan sekarang kita berjaya melakukannya. Super 4 pastinya sukar sebab kita akan menghadapi empat perlawanan dalam tempoh lima hari.

“Jadi, pemulihan pemain amat penting begitu juga dengan kecederaan mereka sebab kita ada dua atau tiga pemain yang cedera dan perlu pastikan mereka pulih,” katanya.

Sarjit turut berkata, pasukannya perlu mengutip enam mata di peringkat Super 4 bagi memastikan mereka berpeluang beraksi di final.

“Kalau kita cipta peluang dan memanfaatkan peluang tersebut kita ada harapan untuk ke final,” katanya.

Selepas China, Malaysia dijadual bertemu tuan rumah esok sebelum menentang Korea Selatan pada Sabtu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN