TATKALA dunia sedang melalui gelombang Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) yang tidak mengenal batas, Malaysia terus melangkah dengan tekad mempersiapkan rakyatnya sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mendepani masa hadapan.
Dalam konteks ini, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi bukti jelas kerajaan tidak pernah alpa terhadap kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan utama yang akan mengubah masa hadapan negara.Ia dizahirkan melalui pelbagai pelaksanaan inisitif dan terbaharu dalam RMK13.
Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET dirangka penuh berhikmah untuk membuka lebih banyak ruang kepada belia B40 dan M40, terutamanya di luar bandar dan pedalaman.
Selama ini, anak muda luar bandar sering terhalang daripada menyertai program TVET kerana kekangan kos, lokasi dan peluang pekerjaan. RMK13 ‘datang’ sebagai pemecah halangan. Melalui pembiayaan menyeluruh yang bukan sahaja menampung yuran latihan tetapi juga kos sara hidup, belia B40 dan M40 mampu menuntut ilmu tanpa beban kewangan yang berat.
Tambahan pula, melalui Dana Latihan TVET bermakna peserta tidak lagi mengikuti latihan generik yang tiada nilai tambah, tetapi dibekalkan dengan kemahiran relevan dengan keperluan pasaran semasa.
Sektor berimpak tinggi seperti kenderaan elektrik (EV), automasi, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi tumpuan utama.
Langkah kerajaan untuk meluaskan jangkauan TVET ke pedalaman juga amat signifikan. Pendekatan TVET bergerak dan pusat latihan satelit membolehkan latihan dibawa masuk ke kawasan kampung, pulau serta komuniti Orang Asli yang selama ini sukar mengakses institusi TVET.
Pendekatan ini membuktikan tiada sesiapa harus dipinggirkan daripada arus pembangunan negara. Keunikan besar skim ini ialah laluan kerjaya yang lebih jelas. Graduan TVET bukan sahaja menerima sijil, tetapi turut dijamin peluang pekerjaan melalui kerjasama erat bersama industri dan laluan akademik ke Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Konsep ekosistem Madani yang bersepadu turut menjadi pemacu keberkesanan skim ini. Gabungan pembiayaan, latihan, insentif majikan dan sokongan komuniti mewujudkan rantaian yang kukuh.
Peserta bukan sahaja dilatih, malah ditempatkan dalam pekerjaan yang berdaya maju. Inilah formula untuk memutuskan rantaian kemiskinan luar bandar yang sudah lama membelenggu sebahagian masyarakat kita.
Lebih menarik, RMK13 turut memperluas program TVET di institusi tahfiz. Langkah ini membawa makna yang cukup mendalam iaitu melahirkan Huffaz yang bukan sahaja kukuh rohaninya tetapi juga memiliki kemahiran teknikal seperti yang pernah diungkapkan tokoh pendidikan, “Ilmu tanpa akhlak itu pincang, akhlak tanpa kemahiran itu terpinggir.”
Persepsi masyarakat terhadap institusi tahfiz juga bakal berubah daripada pusat pengajian agama semata-mata kepada pusat melahirkan modal insan holistik yang seimbang antara spiritual dan teknikal.
Apabila berbicara tentang TVET berasaskan nilai tinggi (HGHV) dan teknologi termaju, ia bukan sekadar soal melatih belia tetapi mengangkat daya tahan ekonomi negara. Pertama, TVET HGHV melengkapkan sektor strategik negara dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mengisi jawatan kritikal bernilai bilion ringgit.
Kedua, ia meningkatkan produktiviti industri dan seterusnya mencipta pekerjaan premium dengan gaji lebih tinggi sekali gus mengangkat taraf hidup rakyat.
Ketiga, ia menarik pelaburan berkualiti tinggi. Pelabur antarabangsa mahu melihat tenaga kerja yang kompeten sebelum melabur dan TVET HGHV memberi jaminan tersebut.
Kerajaan juga terus mengukuhkan strategi sedia ada untuk menyelesaikan tiga cabaran nasional yang kritikal iaitu produktiviti tenaga kerja, pengangguran belia dan ketidaksepadanan kemahiran.
Antaranya melalui cabang pemerkasaan TVET wanita. Program Pemberdayaan Pekerjaan melalui Pembelajaran dan Kemajuan Teknikal Inklusif (JELITA) misalnya, dilaksanakan melalui MTUN melibatkan lebih 3,000 peserta dari empat zon utama iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Melalui JELITA, peserta diberikan latihan pensijilan teknikal, bengkel kemahiran insaniah, pertandingan pitching dan temu duga langsung dengan syarikat multinasional. Hasilnya, graduan TVET bukan sahaja memiliki sijil, tetapi kompetensi sebenar yang diperlukan industri.
Kajian JobStreet 2024 menunjukkan 52 peratus majikan berpendapat graduan baharu kurang kemahiran praktikal. Oleh itu, dengan inisiatif seperti JELITA, dapat meningkatkan produktiviti tenaga kerja negara.
HAPUS PENGANGGURAN
Dalam menangani kadar pengangguran belia yang masih tinggi iaitu 10.4 hingga 11.7 peratus (Q1 2024), program JELITA@KPT Summit berjaya menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan premium secara langsung kepada graduan. Ini membuktikan graduan TVET bukan sahaja layak tetapi juga bersedia mengisi jawatan berpendapatan tinggi.
Penempatan dan Latihan TVET pula menjadi contoh ketidaksepadanan kemahiran dapat ditangani dengan berkesan. Peserta bukan sahaja dilatih dengan modul yang dibangunkan bersama industri, malah terus ditempatkan di syarikat yang memerlukan tenaga kerja.
Data menunjukkan lebih 80 peratus peserta berjaya diserap bekerja sebaik tamat latihan.
Selain itu, konsep pasar malam UTeM mewajibkan peniaga luar mengambil mahasiswa sebagai pekerja, sekali gus menyemai semangat keusahawanan teknikal dan sosial dalam diri mereka. UTeM juga terlibat aktif dalam program Pembangunan Usahawan Teknikal (Putek) yang menyediakan pembiayaan padanan geran 60 peratus pembiayaan dan 40 peratus geran kepada graduan untuk memulakan perniagaan teknikal.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga alumni UTeM berkata sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan pendigitalan akan terus diperkasakan di seluruh negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi simbol kesungguhan kerajaan untuk memperkasa TVET sebagai nadi pembangunan negara.
Industri, institusi pendidikan, komuniti, ibu bapa dan masyarakat perlu berganding bahu. Harapan kita jelas, agar tiada seorang pun anak muda yang tercicir daripada peluang membina masa hadapan melalui TVET. Kita juga berharap agar graduan TVET dilahirkan dengan kemahiran yang tepat, mengisi jurang tenaga kerja kritikal dan seterusnya memacu ekonomi negara ke mercu dunia.
RMK13 adalah langkah berani yang bakal meninggalkan kesan mendalam kepada generasi akan datang.
Inilah bukti kerajaan bukan sekadar bercakap soal masa hadapan, tetapi benar-benar membinanya dengan penuh kesungguhan.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Massila Kamalrudin ialah Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).










