Perkara 42 dan 48 cerminan keutuhan demokrasi, keadilan negara

Perkara 42 dan 48 cerminan keutuhan demokrasi, keadilan negara

ANWAR Ibrahim dibebaskan dari penjara selepas menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V mela­lui Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 16 Mei 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 16 Mei 2018, negara menyaksikan detik bersejarah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melangkah keluar dari penjara sebagai seorang insan bebas dengan pengampunan penuh.

Peristiwa ini bukan sekadar pembebasan seorang individu sebaliknya manifestasi sebuah proses peruntukan perlembagaan kompleks, yang mengesahkan semula kelayakan beliau untuk bertanding menjadi ahli Dewan Rakyat dan akhirnya membuka laluan untuknya ke Pejabat Perdana Menteri.

Sebenarnya, pengampunan penuh mempunyai persamaan dengan pengampunan bebas (free pardon) yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V. Ia adalah kemuncak kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Mesyuarat yang dipengerusikan sendiri baginda ketika itu dihadiri tokoh-tokoh utama negara, termasuk Perdana Menteri yang baru dilantik ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Peguam Negara.

Keputusan sebulat suara Lembaga untuk menasihatkan pengampunan penuh/bebas menandakan titik noktah kepada saga perundangan Anwar yang berlarutan selama dua dekad.

MENYELAMI PERKARA 42

Asas kepada semua pengampunan terletak pada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini memberi Yang di-Pertuan Agong (untuk kesalahan di Wilayah Persekutuan dan kesalahan di bawah undang-undang tentera) dan raja atau Yang di-Pertua Negeri (untuk kesalahan di negeri masing-masing) kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum.

Kuasa ini dikenali sebagai prerogatif diraja ihsan, ia konsep yang diwarisi daripada sistem perundangan common law British.

Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan di bawah Perkara 42 berfungsi sebagai badan penasihat. Keanggotaannya terdiri daripada Peguam Negara, Menteri Besar atau Ketua Menteri (atau Menteri Wilayah Persekutuan) serta tidak lebih daripada tiga anggota lain yang dilantik oleh raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Dalam konteks kes Anwar, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Lembaga ini.

Pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, menekankan perbezaan kritikal antara jenis-jenis pengampunan. Walaupun ada pengampunan yang sekadar mengurangkan atau menangguhkan hukuman atau pengampunan bebas membawa implikasi yang jauh lebih besar.

Dalam kes pengampunan bebas, ia memadamkan sabitan itu sendiri. Dari segi undang-undang, individu itu dianggap seolah-olah tidak pernah melakukan kesalahan tersebut. Kesannya adalah retroaktif dan membersihkan rekod individu itu sepenuhnya seolah-olah mahkamah tidak pernah membuat sebarang sabitan.

 

PERKARA 42 MEMBUKA KUNCI PERKARA 48

Kesan paling ketara daripada pengampunan penuh ini adalah pemulihan serta-merta kelayakan Anwar untuk menjadi ahli Parlimen. Ini membawa kita kepada Perkara 48, yang menggariskan syarat-syarat hilang kelayakan.

Untuk memahami sepenuhnya, kita perlu meneliti teks Perkara 48(1)(e) yang relevan:
– 48. (1) tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika :
– (e) dia disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan… dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Frasa ‘dan dia tidak mendapat pengampunan bebas’ adalah klausa pengecualian yang amat penting. Ia secara sengaja dimasukkan oleh penggubal Perlembagaan untuk menyediakan jalan pemulihan. Logiknya mudah, jika syarat untuk hilang kelayakan adalah sabitan kesalahan, maka apabila sabitan itu sendiri dipadamkan melalui pengampunan bebas, maka asas untuk hilang kelayakan itu turut musnah.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, pernah menghuraikan perkara ini dengan jelas. Menurut beliau, pemberian pengampunan bebas di bawah Perkara 42 secara automatik menggugurkan hilang kelayakan di bawah Perkara 48. Tidak ada proses berasingan yang diperlukan.
Sebaik sahaja mohor diraja diperkenan ke atas dokumen pengampunan, segala sekatan yang berpunca daripada sabitan itu terbatal.

Ini menjawab kekeliruan sesetengah pihak yang merujuk kepada Perkara 48(3), yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan hilang kelayakan. Namun, Perkara 48(3) adalah mekanisme untuk situasi berbeza, iaitu apabila seseorang ahli Parlimen yang sedang berkhidmat disabitkan kesalahan dan hilang kelayakan tetapi tidak menerima pengampunan bebas.

Dalam kes Anwar, pengampunan bebas yang diterima menjadikan rujukan kepadan Perkara 48(3) tidak relevan.

PENGESAHAN MUTLAK OLEH MAHKAMAH

Walaupun proses perlembagaan ini jelas, keesahan pengampunan Anwar tetap dicabar di mahkamah. Pada 2020, seorang peguam memfailkan saman sivil, dengan hujah Lembaga Pengampunan tidak dibentuk secara sah ketika menasihati Yang di-Pertuan Agong, antara lainnya mempersoalkan komposisi Lembaga pada hari tersebut.

Namun, cabaran itu gagal di setiap peringkat hirarki mahkamah. Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan (2021) dan akhirnya Mahkamah Persekutuan (2023) sebulat suara menolak tuntutan tersebut. Asas keputusan mahkamah adalah doktrin ‘tidak boleh disemak oleh mahkamah’.

Dalam penghakimannya, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel Mahkamah Persekutuan, menegaskan kuasa memberi pengampunan adalah prerogatif eksklusif Yang di-Pertuan Agong. Ia bukan kuasa yang boleh diadili atau dipersoalkan oleh badan kehakiman.

Mahkamah hanya boleh campur tangan jika ada bukti proses itu dijalankan secara tidak berperlembagaan. Dalam kes ini, semua prosedur dipatuhi. Keputusan ini mengukuhkan prinsip pengasingan kuasa. Badan kehakiman menghormati sempadan kuasanya dan mengiktiraf prerogatif ihsan raja-raja Melayu adalah bidang kuasa yang unik dan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, isu keesahan pengampunan Anwar menjadi res judicata—satu perkara yang diputuskan secara muktamad dan tidak boleh dibangkitkan lagi.

Pengesahan oleh badan pengendali pilihan raya ini menoktahkan sebarang spekulasi mengenai status Anwar pada ketika itu dan membolehkan beliau bertanding.

Kemenangan ini menjadi batu loncatan. Empat tahun kemudian, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan Parlimen tergantung, Anwar berjaya memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November 2022.

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

Kisah pengampunan Anwar menjadi kajian kes penting tentang bagaimana mekanisme Perlembagaan Persekutuan berperanan mengimbangi keadilan, kuasa dan hak individu.

Proses ini mengesahkan tiga prinsip utama iaitu pertama, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 adalah mutlak dan berperanan sebagai jalan terakhir untuk keadilan. Kedua, Perlembagaan melalui Perkara 48 secara eksplisit menyediakan laluan untuk pemulihan hak politik bagi mereka yang menerima pengampunan bebas. Ketiga, sistem kehakiman berdiri teguh sebagai penjaga Perlembagaan dengan mengiktiraf sempadan kuasanya sendiri dan mengesahkan keputusan dibuat oleh institusi lain mengikut undang-undang.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×