Neville kritik penyerang mahal tumpul

Neville kritik penyerang mahal tumpul

Gary Neville
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas pertahanan Manchester United, Gary Neville mendakwa pembelian Benjamin Sesko bernilai 74 juta pound (RM421 juta) masih belum mencapai tahap terbaik selepas The Red Devils seri 1-1 menentang Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Neville menyifatkan terdapat desakan agar penyerang antarabangsa Slovenia itu diturunkan dalam kesebelasan utama meskipun baru sahaja menyertai skuad kendalian Ruben Amorim dari RB Leipzig.

Namun, Sesko sekali lagi hanya beraksi sebagai pemain gantian, sama seperti ketika United tewas kepada Arsenal dalam aksi pembukaan liga minggu lalu.

“Amorim perlu beri Sesko peluang bermain penuh menentang Grimsby dalam Piala Carabao supaya dia benar-benar bersedia untuk diturunkan dari awal ketika menentang Burnley, Sabtu ini.

“Apa yang kita nampak, dia sangat perlukan minit permainan,” kata Neville.

Beliau turut menegaskan bahawa pemain bernilai tinggi seperti Sesko tidak boleh hanya dibiarkan di bangku simpanan, namun pada masa sama Amorim dilihat mahu mengekalkan Mason Mount dalam kesebelasan.

Neville menambah, perubahan taktikal dengan memasukkan Sesko, memindahkan Mount ke tengah dan mengeluarkan Casemiro menyebabkan United lebih mudah dibolosi, malah memberi peluang kepada Fulham untuk menguasai permainan.

“Yang pelik bagi saya ialah pertukaran benteng pertahanan di penghujung perlawanan apabila Leny Yoro dan Luke Shaw dikeluarkan. Itu bukan masa yang sesuai untuk mengubah barisan pertahanan,” katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan United masih gagal meraih kemenangan liga musim ini selepas tewas kepada Arsenal dan kini terikat di Craven Cottage.

Skuad Amorim bakal berkunjung ke Grimsby Town dalam aksi pusingan ketiga Piala Carabao, Rabu ini sebelum kembali beraksi di Old Trafford menentang Burnley dalam saingan EPL hujung minggu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN