MANCHESTER: Benjamin Sesko bersedia mengikuti laluan yang pernah dilalui Erling Haaland apabila dikaitkan dengan perpindahan sensasi ke Manchester United musim panas ini.
Seperti Haaland yang mula mencipta nama bersama Red Bull Salzburg sebelum meledak di Bundesliga dan seterusnya menggegar Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester City, Sesko juga memulakan kariernya di kelab Austria itu sebelum berhijrah ke RB Leipzig.
Penyerang berusia 22 tahun dari Slovenia itu semakin menjadi perhatian selepas aksi cemerlangnya bersama Leipzig, hingga mendapat jolokan ‘Erling baharu’ oleh rakan sepasukan ketika di Salzburg, malah ada yang percaya dia memiliki potensi lebih besar daripada Haaland sendiri.
United kini berada di barisan hadapan untuk mendapatkan khidmat Sesko dengan nilai perpindahan yang dianggarkan mencecah 70 juta pound (RM395 juta).
Bagaimanapun, mereka dijangka berdepan saingan sengit daripada Newcastle United yang turut meminati pemain berprofil tinggi itu.
Perbandingan antara Sesko dan Haaland bukanlah sesuatu yang mengejutkan, berikutan ketinggian 6 kaki 5 inci iaitu satu inci lebih tinggi daripada Haaland serta kelajuan, kekuatan fizikal dan kemampuan menjaringkan gol dari pelbagai sudut, sekali gus Sesko dilihat sebagai penyerang moden yang ideal dalam bola sepak era kini.
Lebih menarik, pemain itu turut menjadikan Haaland sebagai sumber inspirasi dan dia dilaporkan gemar membaca buku motivasi dan sejak kecil menonton video aksi penyerang Norway itu di YouTube, membuktikan betapa dalamnya pengaruh Haaland dalam membentuk gaya permainan Sesko.
“Perbandingan itu bukan tekanan, malah beri saya motivasi dan tenaga. Saya mahu belajar dan jadi lebih baik daripada dia,” kata Sesko.
Sesko meledak 59 gol dalam 23 perlawanan untuk pasukan bawah 15 tahun Krsko sebelum berpindah ke Salzburg pada tahun 2019.
Musim kedua sebagai pemain pinjaman di FC Liefering pada 2020-21 menjadi titik tolak dalam kariernya, sebelum kembali ke Salzburg dan mula menjaringkan gol secara konsisten.
Pada tahun 2023, dia berpindah ke Leipzig dan sejak itu muncul sebagai penjaring terbanyak dalam kalangan pemain bawah 23 tahun di lima liga utama Eropah dengan 39 gol mengatasi Jude Bellingham (38), Florian Wirtz (34), Jamal Musiala (33) serta Rasmus Hojlund (26).
Daripada 27 gol Bundesliga, hampir suku daripadanya dijaringkan dari luar kotak penalti membuktikan variasi teknik penyudahnya.
Kini, United mahu mengelak kesilapan lama selepas membiarkan Haaland menyertai Dortmund pada tahun 2020 dengan bergerak pantas cuba memancing bintang muda yang berpotensi mengulangi dominasi Haaland, tetapi kali ini, di Old Trafford. – AGENSI/UTUSAN










