LONDON: Newcastle United terus berusaha mendapatkan khidmat penyerang muda sensasi RB Leipzig, Benjamin Sesko menerusi satu tawaran lumayan yang dikatakan bakal memecah rekod perpindahan kelab dengan nilai sekurang-kurangnya 70 juta pound (RM394 juta).
Difahamkan The Magpies menerima maklum balas positif daripada pihak Sesko yang menyatakan kesediaan untuk menyertai mereka.
Ia sekali gus membuka ruang buat Newcastle mempercepatkan rundingan, biarpun berdepan saingan daripada Manchester United yang turut berminat mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu.
Setakat ini, masih belum jelas apakah pendirian Sesko terhadap tawaran Manchester United memandangkan tiada perkembangan rasmi diumumkan daripada kem lawan mereka.
Namun menurut sumber terdekat, semua kemungkinan masih terbuka buat pemain Slovenia itu.
Newcastle dikatakan mahu bergerak lebih pantas dalam rundingan selepas RB Leipzig meminta struktur tawaran asal bernilai RM394 juta yang dikemukakan hujung minggu lalu dikaji semula, termasuk dari aspek pembayaran ansuran dan bonus.
Sesko menjadi sasaran utama Newcastle bagi memperkukuh barisan serangan mereka menjelang musim baharu.
Rundingan dijangka dipercepatkan selepas pemain itu dimaklumkan bersedia untuk menandatangani kontrak bersama kelab dari Tyneside itu.
Walaupun Manchester United masih mengekalkan minat terhadap Sesko dan sebelum ini disebut-sebut sebagai destinasi pilihan pemain tersebut tetapi kelab tersebut masih belum mengemukakan sebarang tawaran rasmi sehingga hujung minggu lalu sekali gus memberi kelebihan kepada Newcastle.
Newcastle turut meletakkan tempoh masa kritikal untuk memuktamadkan keputusan dalam masa 24 jam, memandangkan mereka mahu menamatkan urusan ini sebelum aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa minggu depan.
Pada masa sama, penyerang utama mereka, Alexander Isak, dilaporkan masih menyimpan hasrat untuk berpindah ke Liverpool, namun juara EPL musim lalu itu hanya akan kembali dengan tawaran rasmi selepas Newcastle berjaya mendapatkan pengganti penyerang Sweden tersebut.
Situasi ini menjadikan rundingan Newcastle untuk mendapatkan Sesko sebagai keutamaan dan penentu kepada beberapa lagi urusan perpindahan yang bergantung kepada hasil akhir perbincangan mereka bersama Leipzig. – AGENSI/UTUSAN










