Manchester United dapat Sesko

Manchester United dapat Sesko

Benjamin Sesko
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Manchester United telah menandatangani pemain antarabangsa Slovenia, Benjamin Sesko, kelmarin menjadikannya penyerang ketiga yang diperoleh juara England 20 kali itu dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Pemain berusia 22 tahun itu tiba dari RB Leipzig dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai sehingga 74 juta pound (RM421 juta), melengkapkan rombakan barisan serangan Red Devils yang gagal menyerlah musim lalu.

Hanya empat pasukan lain yang menjaringkan gol lebih sedikit berbanding 44 gol United dalam 38 perlawanan Liga Perdana musim lalu, ketika kelab gergasi England itu melalui musim paling buruk dalam 51 tahun, menamatkan saingan di tangga ke-15.

Sesko, yang telah menjaringkan 16 gol dalam 41 penampilan antarabangsa, merupakan pemain serangan ketiga yang ditandatangani United selepas membawa masuk Matheus Cunha dengan nilai 62.5 juta pound (RM356 juta) dari Wolves dan Bryan Mbeumo dari Brentford dengan harga 65 juta pound (RM370 juta) dan tambahan 6 juta pound (RM34 juta) sebagai insentif.

“Manchester United dengan sukacitanya mengesahkan bahawa Benjamin Sesko telah menyertai kelab ini, tertakluk kepada pendaftaran,” menurut kenyataan kelab tersebut.

Kontrak selama lima tahun itu termasuk bayaran dijamin sebanyak 66.3 juta pound (RM377 juta), dengan selebihnya dalam bentuk insentif, menurut laporan.

“Sejarah Manchester United sememangnya sangat istimewa tetapi apa yang benar-benar menggembirakan saya ialah masa depan,” kata Sesko.

“Apabila kami berbincang mengenai projek ini, jelas segalanya telah tersedia untuk pasukan ini terus berkembang dan bersaing merebut trofi-trofi utama tidak lama lagi.”

Sesko sebelum ini turut dikaitkan dengan Newcastle, namun sekali lagi pasukan bimbingan Eddie Howe, juara Piala Liga, gagal mendapatkan sasaran mereka walaupun mampu menawarkan aksi bola sepak Eropah musim ini, tidak seperti Manchester United.

Howe melihat Sesko sebagai pengganti sedia ada kepada penyerang Sweden, Alexander Isak, yang tidak gembira dan menjadi sasaran juara bertahan, Liverpool. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN