PETALING JAYA: Larian emas raja pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi di Terbuka India 2025 membuktikan ‘enjin pecut’ anak muda itu terus panas sepanjang musim, sekali gus memberi isyarat awal kepada pencabar di pentas Asia.
Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, catatan 10.35 saat (s) di Stadium Kalinga kelmarin bukan sahaja mengulangi prestasi di Kejohanan Universiti Dunia (WUG) Jerman, malah mengesahkan konsistensi Azeem.
Menurutnya, kejayaan itu lebih bermakna kerana Terbuka India bukan kejohanan kemuncak musim ini, namun Azeem tetap mampu mengekalkan prestasi terbaiknya.
Jelasnya, pencapaian sebegini adalah indikator positif menjelang kejohanan besar yang akan menjadi medan ujian sebenar buat pelari berusia 21 tahun itu.
“Pencapaian di India itu memang secara ringkasnya konsisten sepanjang tahun ini dan kita dapat lihat daripada masa di WUG di Jerman dia buat 10.35 dan sekarang pun sama untuk menang emas.
“Saya rasa pesaing-pesaing di Odisha itu juga memberikan persaingan yang baik kerana ramai atlet India sendiri dan beberapa negara lain bersaing,” kata Manshahar kepada Utusan Malaysia.
Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s, tidak berdepan masalah untuk menakluk pentas sekali gus menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Chamod M Yodhasing dari Sri Lanka yang meraih perak dengan 10.43s.
Lebih manis, selain Azeem, pingat gangsa turut menjadi milik seorang lagi wakil muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang merekodkan 10.50s.
Dalam pada itu, Manshahar menepis kebimbangan peminat mengenai aksi Azeem yang dilihat memegang pangkal paha sejurus menamatkan larian emasnya.
“Azeem macam biasa, selamat dan sihat, tidak ada masalah. Mungkin kebiasaan dia untuk pegang peha selepas berlari, ianya normal dan tidak ada kecederaan,” katanya. – UTUSAN










