MIAMI: Persiapan Real Madrid menjelang separuh akhir Piala Dunia Kelab menentang Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi esok sedikit terganggu dengan berita penghijrahan pemain.
Arkitek di bahagian tengah, Luka Modric yang memainkan peranan besar dalam skuad Los Blancos dilaporkan bakal menyertai AC Milan selepas berakhirnya saingan Piala Dunia Kelab.
Perkara itu disahkan oleh pengendali Milan, Massimiliano Allegri yang teruja dengan dengan ketibaan kapten Croatia itu bagi mengemudi jentera tengah skuad kendaliannya.
“Dia akan tiba pada Ogos, dia seorang yang luar biasa dan pemain tonggak, tidak ada gunanya kita bercakap lebih lanjut mengenainya,” kata Allegri dalam sidang akhbar pertama selepas kembali mengambil tugas selaku pengendali Milan.
Modric, yang bakal berusia 40 tahun pada September ini menyertai Real dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham pada 2012 dan dikaitkan dengan perpindahan ke Itali sejak awal Jun lalu.
Sebelum ini, Modric pernah mengumumkan yang dirinya akan meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu apabila kontraknya berakhir dan kelab itu tidak lagi mahukan khidmatnya.
Real dijadual bertemu PSG pada aksi separuh akhir Piala Dunia Kelab esok, sekiranya menang mereka akan berdepan Fluminense atau Chelsea pada 13 Julai.
Allegri kembali menerajui Milan selepas membawa mereka merangkul kejuaraan Serie A pada 2011 semasa tempoh pertamanya mengendalikan antara 2010 dan 2014.
Perlawanan pertama Allegri Bersama Milan untuk musim baharu ini adalah dalam saingan Piala Itali pada 17 Ogos depan. – AGENSI/UTUSAN









