MADRID: Pengendali Real Madrid, Jose Mourinho menyifatkan kritikan terhadap penyerangnya, Kylian Mbappe sebagai tidak masuk akal susulan kecaman terhadap pemain itu yang didakwa lebih gemar menjalani pemulihan kecederaan di luar Madrid.
Mbappe, 27, berdepan kritikan selepas memilih menjalani proses pemulihan kecederaan lutut kiri di Perancis dan Switzerland, bukannya di Madrid, selepas mengalami kecederaan ketika mewakili Perancis dalam aksi Liga Negara-Negara menentang Turkiye.
Situasi itu mencetuskan kontroversi apabila Mbappe dirakam berada di pintu masuk sebuah kelab malam di Paris sebelum gambarnya berbasikal ketika berada di Switzerland tersebar, sekali gus mengundang dakwaan dia tidak menghormati arahan Mourinho yang sebelum ini menasihatkan pemain mengelakkan aktiviti berisiko seperti bermain ski dan berbasikal.
Bagaimanapun, Mourinho menegaskan Mbappe sudah memenuhi tanggungjawabnya terhadap kelab, termasuk menjalani pemeriksaan perubatan sebelum mendapatkan pandangan pakar di Perancis berikutan sejarah kecederaan lutut yang dialaminya.
“Adakah kritikan ini keterlaluan? Ia tidak masuk akal. Semua pemain yang diwajibkan hadir setiap hari untuk menjalani pemulihan berada di sini.
“Mbappe juga datang seperti pemain lain untuk menjalani imbasan bagi mengenal pasti kecederaannya.
“Selepas itu, dia menemui pakar di Perancis kerana kita tidak boleh mengabaikan sejarah masalah lututnya,” katanya.
Pengendali dari Portugal itu turut menepis dakwaan Mbappe menghabiskan masa di kelab malam, dengan menjelaskan lokasi berkenaan sebenarnya digunakan untuk acara tertutup sempena minggu fesyen, manakala basikal yang ditunggang pemain itu di Switzerland disediakan pihak hotel untuk kegunaan tetamu.
Mourinho, 63, juga tidak bimbang kemungkinan Mbappe menerima layanan dingin penyokong ketika beraksi menentang Villarreal, malah yakin penyerang itu sudah melaksanakan segala tanggungjawabnya bersama Real Madrid. – AGENSI/UTUSAN











