KUALA LUMPUR: Tindakan Lee Zii Jia memuat naik gambar hitam putih misteri baru-baru ini bukan petanda tekanan emosi, sebaliknya hanya luahan jiwa seni pemain perseorangan profesional negara itu.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin tampil memberi penjelasan selepas hantaran Instagram itu mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan tanah air.
Menurutnya, pihak pengurusan Zii Jia (Team LZJ) memaklumkan bahawa gambar berkenaan hanyalah bentuk ekspresi seni dan tiada perkara membimbangkan berlaku.
“Pihak pengurusannya maklumkan kepada kami bahawa gambar itu adalah ekspresi seni dan tiada apa yang perlu dirisaukan.
“Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga bercakap dengan pasukannya dan menerima penjelasan yang sama,” kata Jefri ketika ditemui pada Hari Sukan Atlet MSN di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Kelmarin, Zii Jia menimbulkan kebimbangan sebahagian besar peminat sukan tanah air, khususnya badminton apabila memuat naik gambar ilustrasi hitam putih tanpa kapsyen di laman Instagram seolah-olah menggambarkan keadaan dirinya ketika ini.
Keadaan itu menyebabkan ruangan komen dibanjiri dengan persoalan serta kata-kata semangat daripada peminat serta beberapa rakan senegara yang lain seperti Goh Jin Wei, Lai Pei Jing dan Yap Roy King.
Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-27 dunia tetapi masih mengekalkan ranking perlindungan No. 9, sedang menjalani pemulihan kecederaan buku lali yang dialaminya Disember lalu.
Pemain berusia 27 tahun itu dijangka kembali beraksi pada Terbuka Jepun yang bermula 15 Julai ini selepas berehat panjang sejak All England pada Mac lalu.
Walaupun bukan di bawah program rasmi MSN, Jefri menjelaskan pihaknya sentiasa sedia membantu termasuk dari segi pemulihan atau logistik ke kejohanan antarabangsa.
“Dia sedang fokus untuk Kejohanan Dunia bulan depan, jadi jangan ganggu momentum dia, biar dia terus fokus,” katanya. – UTUSAN









