Justin, Aaron-Aaron layak ke suku akhir, Zii Jia terkandas

Justin, Aaron-Aaron layak ke suku akhir, Zii Jia terkandas

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib berbeza mengiringi dua pemain perseorangan lelaki negara dengan Justin Hoh berjaya menempah slot suku akhir, manakala, Lee Zii Jia terkandas di peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei City, Taiwan, hari ini.

Justin yang menghuni ranking No. 50 dunia menewaskan Prahdiska Bagas Shujiwo dari Indonesia 14-21, 21-11, 21-14 dalam masa 51 minit.

Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 22 tahun tersebut melebarkan rekod pertemuan ke atas Prahdiska yang berada di ranking ke-43 dunia menjadi 2-0.

Pada suku akhir, esok, Justin bakal berdepan pencabar dari Korea Selatan, Yoo Tae Bin yang menghuni ranking ke-73 dunia.

Peluang itu harus dimanfaatkan Justin bagi memburu tempat ke separuh akhir, selain membalas dendam di atas satu-satunya kekalahan kepada Tae Bin pada Malaysia Super 100, tahun lalu.

Kejayaan yang diraih Justin, bagaimanapun, gagal diikut jejak oleh Zii Jia yang terpaksa akur kepada jaguh Taiwan yang berada di ranking No. 12 dunia, Lin Chun Yi 20-22, 21-11, 18-21 dalam masa 54 minit.

Kekalahan Zii Jia itu juga menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pemain kini diterajui Chun Yi dengan kedudukan 3-2.

Dalam aksi beregu lelaki pula, Aaron Chia-Aaron Tai melayakkan diri ke suku akhir selepas melakar kemenangan straight set ke atas gandingan tuan rumah, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng 21-16, 21-13 dalam masa 28 minit.

Beregu yang menggandingkan pemain senior dan muda itu merupakan wakil tunggal Malaysia yang berjaya mara ke suku akhir, selepas empat lagi gandingan terkandas seawal pusingan pertama.

Pada peringkat lapan terbaik, esok, beregu yang memiliki nama sama iaitu Aaron bakal berdepan sama ada pasangan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Daniel Edgar Marvino atau Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan.

Sementara itu, dua wakil beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Clarissa San dan Low Han Chen-Chan Wan Tse disekat kemaraan mereka selepas tumpas kepada lawan masing-masing.

Tang Jie-Clarissa tewas kepada pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 21-17, 12-21, 16-21 dalam masa 56 minit, manakala, Han Chen-Wan Tse tunduk kepada wakil tuan rumah, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin 18-21, 17-21 dalam masa 35 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN