Zii Jia kejutkan bintang No. 2 dunia di Finland

Zii Jia kejutkan bintang No. 2 dunia di Finland

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia kembali mendapat sentuhan berbisanya setelah mengejutkan bintang No. 2 dunia, Christo Popov pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, hari ini.

Anak jati Kedah yang menghuni ranking ke-56 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas wakil Perancis tersebut 21-11, 21-16 dalam masa 38 minit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejayaan itu menyaksikan Zii Jia semakin melebarkan rekod pertemuan dengan Popov kepada 3-0.

Pada separuh akhir, esok, Zii Jia bakal berdepan sama ada jaguh No. 6 dunia, Anders Antonsen dari Denmark atau pemain muda China, Hu Zhe An yang menghuni ranking ke-37 dunia.

Seandainya Antonsen menjadi pencabar Zii Jia di separuh akhir, kedua-dua pemain itu memiliki rekod pertemuan yang seimbang iaitu terikat dengan kedudukan 5-5.

Namun, kali terakhir pemain berusia 28 tahun itu bertemu Antonsen adalah pada Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, dua tahun lalu yang berpihak kepada Zii Jia.

Selepas itu, mereka berdua belum pernah bertembung dengan Zii Jia mengalami beberapa episod kecederaan dan kemerosotan prestasi.

Bagaimanapun, sekiranya Zhe An mencipta kejutan ke atas pemain utama Denmark itu dan akan menjadi pencabar Zii Jia, tiada rekod pertemuan yang boleh dijadikan rujukan.

Walau siapapun yang akan Zii Jia berjumpa, esok, inilah peluang terbaiknya mengembalikan keyakinan yang semakin menghilang untuk menempah slot final pada kejohanan berstatus Super 500 itu.

Kali terakhir Zii Jia menjejakkan kaki di separuh akhir adalah pada Terbuka Kanada, Julai lalu, tetapi dia tewas kepada pemain Jepun, Riki Takei. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini