Justin, Zii Jia lepasi halangan awal Terbuka Taiwan

Justin, Zii Jia lepasi halangan awal Terbuka Taiwan

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua wakil perseorangan lelaki negara, Justin Hoh dan Lee Zii Jia menjejakkan kaki ke pusingan kedua, selepas melepasi halangan masing-masing di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei City, Taiwan, hari ini.

Justin yang terlebih dahulu turun ke gelanggang dan menghuni ranking ke-50 dunia mengejutkan pemain No. 25 dunia, Mohammad Zaki Ubaidillah dari Indonesia 21-14, 15-21, 21-11 dalam masa 55 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan Justin kini berhasil merapatkan jurang rekod pertemuannya dengan Zaki kepada 2-3.

Pada pusingan kedua, esok, pemain berusia 22 tahun itu bakal berdepan seorang lagi pencabar dari Indonesia Prahdiska Bagas Shujiwo yang berada di ranking ke-43 dunia.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu kedua-dua pemain, Justin memiliki kelebihan psikologi apabila pernah menewaskan Prahdiska satu kali di Terbuka Slovenia, bagaimanapun, pencapaian itu dilakukannya dua tahun lepas.

Bekas bintang No. 2 dunia, Zii Jia yang kini berada di ranking ke-53 dunia mengambil masa selama lebih sejam sebelum berhasil menyingkirkan wakil tuan rumah, Liao Jhuo Fu 22-24, 21-12, 21-15.

Zii Jia kini mendahului selesa rekod pertemuan ke atas Jhuo Fu 3-0 dan di peringkat seterusnya dia akan menentang seorang lagi wakil tuan rumah yang menghuni ranking No. 12 dunia, Lin Chun Yi.

Turut mara ke pusingan kedua, beregu muda campuran Malaysia, Low Han Chen-Chan Wan Tse yang mengetepikan Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui dari Taiwan 15-21, 21-13, 21-18 dalam masa 51 minit.

Beregu ke-93 dunia itu dijadual menentang satu lagi wakil tuan rumah, Wu Guan Xun-Lee Chia Shin di peringkat 16 terbaik.

Guan Xun-Chia Shin yang merupakan pasangan No. 40 dunia mengalahkan beregu pecah ganding profesional Malaysia, Lee Yi Bo-Lim Chiew Sien 21-18, 21-17 dalam masa 31 minit.

Nasib berbeza mengiringi dua beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Yap Roy King dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang tunduk kepada lawan masing-masing.

Beregu eksperimen Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kai Wun-Roy King masih gagal mencari keserasian apabila akur kepada pasangan Korea Selatan, Na Sung Seung-Wang Chan 21-18, 19-21, 17-21 dalam masa 56 minit.

Gandingan profesional, Hang Yee-Eng Cheong juga tumpas kepada wakil Korea Selatan, Jin Yong-Lee Jong Min 12-21, 14-21 dalam masa 31 minit.

Wakil tunggal perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei pula terpaksa akur kepada pemain Kanada, Zhang Wen Yu 17-21, 20-22 dalam masa 33 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN