PETALING JAYA: Atlet negara, Alia Sazana Azahari percaya kejayaan meraih gangsa dalam acara 25 meter (m) pistol wanita di Piala Menembak MASPED di Hungary, Sabtu lalu dibantu keupayaannya menyesuaikan diri dengan cepat terhadap kondisi lapang sasar kejohanan.
Atlet berusia 34 tahun itu melakukan 580 mata pada pusingan kelayakan sebelum mengumpul 33 mata dalam pusingan akhir untuk membawa pulang pingat gangsa.
Saingan sengit menyaksikan emas menjadi milik penembak Jerman, Anna Korakaki dengan 42 mata, manakala perak dirangkul atlet Indonesia, Rihadatul Asyifa dengan 39 mata.
“Sasaran saya di Hungary adalah untuk menembak seperti mana saya berlatih di Malaysia. Saya kaji lapang sasar semasa sesi latihan dan menyesuaikan diri dalam tempoh dua hari.
“Saya gembira kerana berjaya mencapai sasaran tersebut. Bagi saya, dalam setiap kejohanan, matlamat utama adalah memberikan segala yang saya ada,” kata Alia kepada Utusan Malaysia.
Menurut Alia, kejayaan kali ini menjadi pemangkin untuk terus memperkemas latihan menjelang Kejohanan Menembak Asia di Kazakhstan pada 16 hingga 30 Ogos ini.
Dalam pada itu, Alia menjelaskan bahawa setiap pertandingan memberi ruang untuk memperbaiki kesilapan dan menilai kemampuan dalam situasi sebenar.
“Ada saja benda yang boleh kita belajar, walaupun kesilapan itu kerap, sebab yang penting ialah macam mana nak baiki dan menyesuaikan masa itu juga.
“Kalau kita boleh tenang dan faham proses itu, saya yakin prestasi akan ikut datang kemudian,” katanya.
Beliau akan menyertai satu kejohanan tempatan di Kelab Menembak Selangor dalam masa terdekat sebagai persediaan terakhir sebelum ke Shymkent. – UTUSAN










