LONDON: Manchester United kini berdepan dilema besar menjelang sepak mula musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mereka masih belum berjaya mendapatkan penyerang utama untuk memperkukuh barisan serangan.
Pada hari yang sama Marcus Rashford sah meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Barcelona secara pinjaman, muncul laporan bahawa pengurusan United kini mengakui kemungkinan besar skuad kendalian Ruben Amorim akan memulakan kempen menentang Arsenal bulan depan tanpa penyerang baharu.
Setakat ini, United sudah membelanjakan lebih 130 juta pound (RM745 juta) pada jendela perpindahan musim panas ini bagi mendapatkan Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo.
Namun, kedua-dua pemain tersebut dijangka hanya digunakan sebagai pemain nombor 10 dalam formasi 3-4-2-1 yang digemari Amorim bukannya sebagai penyerang tulen.
Jurulatih dari Portugal itu difahamkan sangat memerlukan seorang penyerang yang berpengalaman luas dalam saingan EPL, namun impian itu mula pudar apabila sasaran utama mereka, Liam Delap memilih menyertai Chelsea.
Sementara itu, Viktor Gyokeres kemungkinan besar berpindah ke Arsenal manakala Hugo Ekitike sudah disambar oleh juara EPL, Liverpool.
United kini sedang berusaha mengumpul dana dengan menjual pemain sedia ada dan dikaitkan dengan beberapa penyerang seperti Randal Kolo Muani dari Paris Saint-Germain (PSG), Ollie Watkins dari Aston Villa dan penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko selain pemain ejen bebas seperti Dominic Calvert-Lewin.
Satu lagi pilihan yang sedang dipertimbangkan adalah pertukaran pemain dengan Chelsea yang membabitkan Alejandro Garnacho dan Nicolas Jackson.
Amorim sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega selepas berjaya mendapatkan Mbeumo tepat pada masanya untuk menyertai jelajah pramusim United di Amerika Syarikat.
Perpindahan pemain antarabangsa Cameroon itu secara tidak langsung menguntungkan seteru jiran mereka, Manchester City, yang menerima sekitar 6.5 juta pound (RM37.2 juta) hasil daripada klausa jualan semula 10 peratus pembelian Brentford daripada Troyes (kelab milik City Football Group) pada 2019.
Kini, dengan musim baharu semakin hampir, tekanan semakin memuncak di bahu Amorim dan pengurusan tertinggi United untuk segera mencari penyelesaian bagi mengisi posisi serangan yang semakin ketara ketandusan. – AGENSI/UTUSAN










