KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bakal dikenali sebagai Persekutuan Sepak Takraw Malaysia selepas pindaan perlembagaan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) semalam mendapat sokongan lebih dua pertiga perwakilan.
Presidennya, Datuk Sumali Reduan berkata, pertukaran itu dilakukan bagi menyeragamkan nama dengan badan induk sukan lain yang turut menggunakan istilah persekutuan di peringkat nasional.
“Kita tukar kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia supaya nampak beza antara kita selaku badan induk di peringkat kebangsaan dengan ahli gabungan negeri yang kekal menggunakan nama persatuan.
“Sebenarnya ini bukan benda baharu, kita dah bincang sebelum ini dan ramai sudah setuju sebab ia lebih mencerminkan peranan kita sebagai pentadbir utama sepak takraw negara,” kata Sumali kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.
Bagaimanapun, menurut Sumali, pindaan tersebut masih belum boleh dikuatkuasakan sehingga mendapat kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Beliau berkata, dokumen berkaitan pindaan akan dihantar dalam masa terdekat kepada PJS untuk proses semakan dan pengesahan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Semuanya pindaan perlembagaan akan berkuat kuasa setelah dapat kelulusan daripada PJS selagi tak dapat kelulusan kita tak boleh guna lagi,” katanya.
Pada AGM semalam, Sumali kekal menerajui PSM selepas dipilih semula sebagai presiden manakala jawatan timbalan presiden disandang oleh Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dengan 49 undian serta Datuk Abdul Halim (47 undian).
Kekosongan tiga jawatan Naib Presiden pula diisi oleh Datuk Abu Jimi Samat (51 undian), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (48 undian) dan Wan Mohd Husni Abdullah yang mendapat 44 undian. – UTUSAN










