KUALA LUMPUR: Hasrat apit kanan negara, Noraizat Nordin untuk menyarung jersi Perak Bison dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini tidak kesampaian apabila disahkan mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) dan meniskus pada lutut kanan.
Keputusan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang diterimanya semalam mengesahkan kecederaan itu memerlukan pembedahan, sekali gus memaksanya mengetepikan impian beraksi dalam liga domestik berkenaan.
Lebih meruntun perasaan, kecederaan itu membabitkan lutut kanan yang menjadi kaki dominannya ketika melakukan libasan, menyebabkan pemain berkenaan tiada pilihan selain menjalani rawatan bagi mengelakkan masalah berpanjangan.
“Berita ini memang kurang baik untuk saya kerana keputusan MRI sudah keluar dan mengesahkan saya mengalami kecederaan ACL serta meniskus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Skuad Sepak Takraw Kebangsaan di ibu negara, kelmarin.
Menurutnya, doktor menyarankan pembedahan bukan semata-mata untuk membolehkannya kembali bermain, malah bagi menjaga kesihatan dan memastikan kualiti hidupnya pada masa depan.
“Doktor mencadangkan pembedahan untuk jangka masa panjang, malah walaupun saya tidak mahu kembali bermain, mereka tetap menyarankan saya menjalani prosedur itu demi kesihatan dan kehidupan saya selepas ini,” katanya.
Malang buat Noraizat, kecederaan terbaharu itu hadir selepas dia turut terlepas peluang beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akibat mengalami kecederaan betis kanan ketika menjalani latihan sebelum temasya bermula.
Noraizat berkata, tempoh pemulihan selepas pembedahan dianggarkan mengambil masa antara enam hingga tujuh bulan, bergantung kepada kelancaran proses rehabilitasi serta perkembangan fizikalnya.
Tempoh itu bagaimanapun masih membuka ruang untuknya memburu peluang mewakili negara pada Sukan SEA tahun depan di Malaysia, meskipun dia sedar segala-galanya bergantung kepada tahap pemulihan dan keyakinan dirinya untuk kembali ke gelanggang.
“Doktor memaklumkan tempoh paling cepat ialah enam hingga tujuh bulan jika saya menjalani rehabilitasi dan pemulihan dengan betul, jadi peluang untuk bermain pada Sukan SEA masih ada, tetapi semuanya bergantung kepada diri saya sendiri,” katanya.
“Kalau saya kuat dan yakin, mungkin saya boleh bermain, tetapi jika masih berasa takut-takut, itu akan menjadi masalah,” katanya.
Mengakui kecederaan kali ini paling serius sepanjang kariernya dalam sepak takraw, Noraizat terpaksa melupakan peluang membantu Perak Bison mengharungi saingan STL musim ini, sekali gus menyaksikan hasratnya untuk kembali beraksi di Malaysia tidak menjadi kenyataan.
Dia turut menyampaikan permohonan maaf kepada penyokong Perak Bison kerana tidak dapat menyumbang tenaga di gelanggang, selain berharap pasukan itu terus melakar kejayaan meskipun tanpa khidmatnya. – UTUSAN











